Aplikasi permainan digital MACC AR dilancar

Nazli menyempurnakan gimik perasmian pelancaran aplikasi MACC AR di Ibu Negara pada Jumaat.
Nazli menyempurnakan gimik perasmian pelancaran aplikasi MACC AR di Ibu Negara pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seiring dengan peredaran teknologi, sebuah permainan digital mudah alih pendidikan antirasuah ‘Malaysian Anti-Corruption Commission Augmented Reality (MACC AR) telah dilancar.

Permainan digital itu dilancarkan bersempena dengan Karnival Bahasa Melayu anjuran bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023 yang berlangsung selama empat hari bermula 8 hingga 11 November.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong berkata, inisiatif tersebut adalah cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam usaha mendekati murid-murid sekolah agar cakna mengenai peranan SPRM dan bahaya jenayah rasuah dalam kehidupan.

Beliau berkata, MACC AR ini dibangunkan sebagai salah satu bahan bantu mengajar yang secara tidak langsung menepati fungsi suruhanjaya ini untuk mendidik orang ramai supaya menentang rasuah dan mendapatkan serta memelihara sokongan masyarakat dalam memerangi rasuah.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi platform GAMMA, Google Play (Android), App Store (iOS) dan AppGallery (Huawei).

“Teknologi ini adalah salah satu daripada tonggak Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang membolehkan kandungan disalurkan kepada pengguna dengan efektif di samping menarik minat mereka melalui audio dan visual yang menarik,” katanya ketika berucap pada pelancaran aplikasi itu pada Jumaat.

SPRM-KPM berkolaboratif memperkasa agenda pendidikan antirasuah nasional.
SPRM-KPM berkolaboratif memperkasa agenda pendidikan antirasuah nasional.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Sukan, Ko-kurikulum, dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia Encik Zainuren Mohd Nor; Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim; Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan, Datuk Mohammad Fauzi Husin @ Che Mamat serta Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Dr Jafry Abu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, teknologi Augmented Reality atau AR merupakan teknologi terkini yang membolehkan kandungan seperti model 3D, animasi, video, imej dan lain-lain dipaparkan sebagai visual alam sebenar melalui penggunaan peranti pintar seperti telefon mudah alih, tablet atau kaca mata pintar sekali gus memudahkan pemahaman pelajar terhadap mesej antirasuah walau di mana pun mereka berada.

Dalam perkembangan sama, lebih 500 individu yang terdiri daripada pelajar, guru pengiring, pegawai pendidikan daerah, pegawai KPM serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Pendidikan Masyarakat terlibat dalam menjayakan program kali ini.

Kesemua peserta peringkat kebangsaan ini merupakan wakil kontinjen setiap negeri yang bersaing merebut kejuaraan dalam pelbagai kategori antaranya pertandingan pidato, sajak, syair dan bercerita bertemakan antirasuah.

Pertandingan Bercerita Tahap I telah dimenangi oleh Amani Latif dari Kelantan, sementara Pertandingan Bercerita Tahap II pula dimenangi oleh An Nur Adyfa Mohd Khafzan dari Selangor.

Pertandingan Pidato Sekolah Rendah pula dimenangi Nur Awadah Mohd Adli manakala acara Pidato Sekolah Menengah Rendah dimenangi Faseeh Fardha Firdaus.

Pertandingan Pidato Tingkatan 6 pula dimenangi oleh Azizul Zafran Aliyuzar dari Perak, manakala acara Deklamasi Sajak Sekolah Rendah pula dimenangi Nur Damia Qistina Nidzwan. Juara acara Deklamasi Sajak Menengah Rendah disandang Adam Darwish Abdullah.

Acara Deklamasi Sajak Menengah Atas pula telah dimenangi oleh Mohd Shair Mimhat dari Johor, sementara acara Dendangan Syair Tingkatan 6 dimenangi peserta dari Sabah, Nurul Batrisyia Mohd Yunos.

Juara Keseluruhan karnival kali ini bagi Kategori Sekolah Rendah dimenangi kontinjen Selangor manakala Juara Keseluruhan bagi kategori Sekolah Menengah dimenangi kontinjen Johor.