Harimau belang di Pos Pasik berjaya ditangkap

Perhilitan Kelantan berjaya menangkap seekor harimau belang di Pos Pasik, Gua Musang pada Isnin menerusi perangkap yang dipasang agensi berkenaan. (Gambar kecil: Mohamad Hafid)
Perhilitan Kelantan berjaya menangkap seekor harimau belang di Pos Pasik, Gua Musang pada Isnin menerusi perangkap yang dipasang agensi berkenaan. (Gambar kecil: Mohamad Hafid)
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor harimau belang di Pos Pasik di sini, pada Isnin selepas haiwan itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang agensi berkenaan.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau berkenaan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, tangkapan itu susulan daripada serangan harimau belang yang menyebabkan kematian seorang lelaki Orang Asli di Pos Pasik pada 5 Oktober lalu.

"Pada 6 Oktober, kami telah menjalankan Operasi Tangkapan Harimau Belang dengan menjalankan siasatan awal, pemantauan serta pemasangan satu unit perangkap di lokasi aduan.

"Operasi ini melibatkan 10 anggota dan perlu dilaksanakan kerana harimau belang berkenaan masih berkeliaran di sekitar lokasi aduan dan perkampungan di Pos Pasik," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, keadaan tersebut juga telah menjejaskan kehidupan harian masyarakat Orang Asli setempat.

Tambahnya, Pos Pasik merupakan salah sebuah kampung yang terletak di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Mohamad Hafid memberitahu, perjalanan ke kampung berkenaan mengambil masa kira-kira tiga ke empat jam bergantung kepada faktor cuaca serta keadaan jalan balak yang hanya boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Artikel Berkaitan:

"Dengan kejayaan operasi ini akan meredakan kegusaran penduduk Orang Asli di sini.

"Bagaimanapun mereka masih perlu berjaga-jaga dan dinasihatkan keluar ke ladang serta bekerja secara berkumpulan, bukan berseorangan," katanya.

Mohamad Hafid berkata, semasa ditangkap haiwan liar itu berada dalam keadaan sihat.

Mengikut rekod Perhilitan, kes kecederaan atau kematian manusia akibat diserang harimau belang di Kelantan dilaporkan berlaku pada 5 Julai 2021 di Kampung Sau, Pos Bihai apabila seorang lelaki Orang Asli mengalami kecederaan parah.

Bagaimanapun harimau belang betina yang menyerang mangsa berjaya ditangkap dan ditempatkan di NWRC, Sungkai, Perak.

Kes seterusnya pada 7 Januari 2022, di Kampung Sau, Pos Bihai melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli dan harimau belang yang menyerang mangsa terpaksa ditembak mati kerana cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi.

Kemudian pada 5 Oktober di Pos Pasik melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli.

Seterusnya pada 10 November di Ladang Akar Prestige, Meranto melibatkan kematian seorang lelaki warganegara Indonesia.

Terbaharu pada 11 November di Meranto melibatkan kematian seorang lelaki warganegara Myanmar.