Belanjawan Selangor seimbang, tumpu kebajikan rakyat - Altimet

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan Selangor 2024 disifatkan sebagai satu belanjawan seimbang dan memberi penumpuan kepada soal kebajikan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet turut berkata, pelbagai inisiatif ditawarkan pastinya dapat memberi kelegaan dan manfaatnya dapat dinikmati rakyat Selangor.

"Sebagai wakil Lembah Jaya, tentunya kita berkeyakinan Selangor akan maju ke depan terutama dengan pengumuman baki hutang negeri sebanyak RM19.20 juta terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS) akan berjaya diselesaikan.

"Ia dijangka diselesaikan sepenuhnya tahun hadapan berlandaskan kebebasan kewangan cemerlang Selangor menunjukkan kemampuan pentadbiran padu berdasarkan tatakelola cemerlang Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, menurut Altimet, belanjawan dibentangkan juga memberi penekanan kepada kepentingan peranan wanita di Selangor dan institusi kekeluargaan yang menjadi tunjang bagi negeri bertuah ini.

"Saya juga memuji pendekatan dan strategi perbelanjaan yang berkesan dan berhemah sehingga prestasi kewangan kerajaan negeri merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM427.25 juta.

"Hasilnya, Selangor mampu menggunakan RM1.113.27 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala sebanyak 72.05 peratus atau RM864.56 juta untuk perbelanjaan pembangunan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: