Perang Palestin-Israel: Angka kematian di Gaza lebih 11,000

Angka kematian akibat pencerobohan Israel meningkat kepada 11,078, termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,027 wanita, dan 678 warga emas dan 27,490 yang lain cedera. - Foto AP
Angka kematian akibat pencerobohan Israel meningkat kepada 11,078, termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,027 wanita, dan 678 warga emas dan 27,490 yang lain cedera. - Foto AP
A
A
A

GAZA - Pihak berkuasa Palestin mendedahkan angka korban akibat perang antara Israel dan Hamas di Gaza sehingga kini telah melepasi 11,000 mangsa.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin negar itu, sejumlah 11,078 mangsa terkorban sejak serangan meletus pada 7 Oktober yang lalu.

Angka korban itu termasuk 4,506 kanak-kanak dibunuh dalam beberapa siri serangan oleh rejim zionis yang turut menyasarkan hospital sebagai sasaran.

“Angka kematian akibat pencerobohan Israel meningkat kepada 11,078, termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,027 wanita, dan 678 warga emas dan 27,490 yang lain cedera," ujar kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, kementerian itu turut mengesahkan, sebanyak 21 hospital dan 47 pusat kesihatan terputus perkhidmatan.

"Pelanggaran Israel terhadap sistem kesihatan menyebabkan kematian 198 kakitangan kesihatan dan kemusnahan 53 ambulans, manakala 135 institusi kesihatan menjadi sasaran dan 21 hospital dan 47 pusat kesihatan penjagaan primer tidak beroperasi," kata kementerian itu lagi.

Sementara itu, puluhan ribu rakyat Palestin telah melarikan diri dari utara Gaza dengan berjalan kaki ketika tentera Israel bergerak ke kawasan kejiranan bandar yang padat dan menyerang hospital yang menjadi tempat perlindungan mangsa perang.

Kota Gaza telah menjadi tumpuan serangan darat Israel dengan pertempuran sengit dan serangan udara dilaporkan pada Jumaat di kawasan berpenduduk padat.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pada awal minggu ini sahaja, sekurang-kurangnya 1.5 juta daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah meninggalkan rumah mereka sejak serangan bermula pada 7 Oktober lalu. - Agensi/Awani