Serangan di Gaza ibarat 'kiamat kecil' - CEO Mapim

Keadaan di Gaza boleh diibaratkan sebagai ‘kiamat kecil’ akibat serangan rejim Israel. - Foto AFP
Keadaan di Gaza boleh diibaratkan sebagai ‘kiamat kecil’ akibat serangan rejim Israel. - Foto AFP
A
A
A

KAJANG - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby menyifatkan serangan rejim zionis di Gaza kali ini sebagai yang paling ganas pernah disaksikannya.

Ahmad Sani berkata, ini kerana terlalu banyak kematian dan kerosakan berlaku sehingga keadaan di Gaza boleh diibaratkan sebagai ‘kiamat kecil’ akibat serangan rejim Israel yang langsung tidak menghiraukan resolusi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Mereka tidak hiraukan resolusi dibuat dan paling kita geram apabila sekolah mempunyai lambang PBB juga dibom.

"Hospital dibina oleh beberapa negara seperti Qatar dan Indonesia turut dibom, dan kita lihat seolah-olah sudah terputus kaedah untuk berbuat sesuatu,” katanya kepada Bernama di Wisma MAPIM, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sepanjang 35 hari serangan Israel itu, hampir 11,000 nyawa sudah terkorban dengan kira-kira 4,000 daripadanya adalah kanak-kanak.

Foto AFP
Foto AFP

Ahmad Sani bagaimanapun berkata, situasi itu tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Palestin melalui MAPIM.

Katanya, selama ini, MAPIM telah membina sebanyak sembilan buah masjid selain membekalkan 10 buah ambulans di Gaza namun daripada sembilan masjid itu dua daripadanya sudah musnah manakala tiga buah ambulans tidak dapat dikesan akibat serangan Israel itu.

Justeru, katanya, MAPIM akan menganjurkan program Himpunan Artis dan Seniman Malaysia Membela Palestin (HASPA), pada 2 Disember ini yang dijangka berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Himpunan ini bagi mendesak hentikan perang serta merta terhadap Palestin dan kami ajak artis dan seniman yang mempunyai banyak pengikut.

Serangan rejim zionis di Gaza kali ini disifatkan sebagai yang paling ganas. - Foto AFP
Serangan rejim zionis di Gaza kali ini disifatkan sebagai yang paling ganas. - Foto AFP

"Hal ini kerana kita perlukan rangkaian ini (artis) dengan keikhlasan hati menjadi ‘magnet menyampaikan mesej yang boleh disampaikan kepada pengikut masing-masing,” katanya.

Menurut Ahmad Sani, MAPIM juga sedang memohon kerjasama dengan pihak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menjadi penganjur bersama program itu agar HASPA mendapat sambutan yang lebih meriah lagi.

Sempena program himpunan bersama artis dan seniman itu juga, MAPIM akan melancarkan Tabung Kecemasan Palestin bagi membantu rakyat Palestin di Gaza. - Bernama