Pemilik masih belum robohkan ubah suai rumah tanpa kelulusan

Bahagian siling rumah jiran Abdul Halim yang didapati sudah jatuh. - Foto Ihsan Abdul Halim
Bahagian siling rumah jiran Abdul Halim yang didapati sudah jatuh. - Foto Ihsan Abdul Halim
A
A
A

NILAI - Meskipun sudah lebih setahun berlalu, namun sepasang suami isteri di Taman Surian di sini masih terpaksa menanggung resah dek kerja-kerja pengubahsuaian rumah jirannya yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Abdul Halim Hassan@Talib, 38, pihaknya difahamkan mahkamah telah pun mengeluarkan arahan supaya pemilik merobohkan struktur tambahan itu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan.

"Dah puas saya turun naik ke Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk bertanyakan isu ini dan pada Rabu lalu saya diberitahu yang mahkamah sebenarnya dah pun keluarkan arahan supaya pemilik runtuhkan struktur itu November lalu.

"Tapi saya tak tahu kenapa sampai sekarang tiada tindakan lanjut dan saya tengok siling di bahagian garaj pun dah ada yang jatuh dan ini membuktikan ubah suai dilakukan tidak selamat,"katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujarnya, dia bimbang jika masih dibiarkan begitu saja, kesan lebih buruk perlu ditanggungnya ditambah pula terdapat kolam renang di tingkat tiga rumah berkenaan.

Malah katanya, sehingga kini, dia masih menanti bayaran ganti rugi daripada pemilik rumah tersebut berikutan keretakan dan kebocoran yang dihadapi pada rumahnya akibat kerja ubah suai yang dilakukan.

"Beberapa dinding di tingkat atas dan bawah retak dipercayai akibat kerja ubah suai rumah jiran selain ada kawasan yang bocor dapat dilihat pada siling dan dinding.

"Saya pernah berbincang dengan jiran yang berjanji akan membayar ganti rugi selepas kediamannya siap diubah suai. Tapi, sehingga sekarang tiada bayaran dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Halim berkata, dia bukannya sengaja mahu memperbesarkan isu tersebut apabila berkongsinya di media sosial, namun sudah buntu memikirkan jalan penyelesaian.

"Sampai bila saya perlu hadapi situasi seperti ini. Mahu tunggu saya dan ahli keluarga mati dulu, baru nak robohkan?," katanya.

Media pada Jun 2022 melaporkan MBS sudah mengeluarkan tiga notis arahan dan sitaan kepada pemilik bangunan itu yang melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan supaya menghentikan dan merobohkan binaan tambahan berkenaan.

Datuk Bandar, Datuk Masri Razali pula dilaporkan berkata, Jabatan Undang-undang dan Penguatkuasaan MBS akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya ke atas kes ini kerana keingkaran pemilik mematuhi notis yang dikeluarkan.

Sementara itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, MBS akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu itu dalam masa terdekat.