Bekalan bawang di pasaran cukup - Fuziah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh (tiga, kanan) mendengar penerangan daripada Pembantu Pengurus Pembelian Lulu Hypermarket, Fakaruddin Harun (kanan) ketika meninjau harga bawang merah besar import sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di Pasar Raya Lulu Hypermarket pada Khamis. - Foto Bernama.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh (tiga, kanan) mendengar penerangan daripada Pembantu Pengurus Pembelian Lulu Hypermarket, Fakaruddin Harun (kanan) ketika meninjau harga bawang merah besar import sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di Pasar Raya Lulu Hypermarket pada Khamis. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan bawang di pasaran dalam negara ketika ini mencukupi dan stoknya masih mampu bertahan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Beliau berkata, susulan tindakan India yang mengehadkan eksport bahan itu, kerajaan sedang berusaha mendapatkan bekalan bawang dari beberapa negara lain walaupun ketika ini bekalan dalam negara masih belum terjejas.

"Setakat ini tidak ada masalah (bekalan bawang) sebab kita masih ada stok lama dan kita juga sedang mencari sumber daripada negara pengeluar-pengeluar lain selain India.

"Saya kira stok bawang sedia ada akan dapat bertahan untuk tempoh lama kerana daripada maklum balas industri, mereka memaklumkan tidak mengalami masalah dalam mengawal stok,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di Lulu Hypermarket di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan India yang mengehadkan eksport bawang dengan mengenakan harga eksport minimum AS$800 setan, berkuat kuasa 29 Oktober hingga hujung tahun ini.

Kementerian Hal Ehwal Pengguna India sebelum ini memberitahu langkah itu diambil untuk memastikan bekalan bawang yang mencukupi bagi pengguna domestik pada harga berpatutan berikutan kuantiti stok bawang daripada musim tanaman 2023 semakin berkurangan.

Berhubung dakwaan terdapat kekurangan bekalan gula dan minyak peket bersubsidi di pasaran ketika ini, Fuziah berkata pihak pengeluar boleh berdepan tindakan sekiranya tidak menepati kuota pengeluaran ditetapkan.

Katanya, ini kerana dalam tempoh sebulan, kerajaan memberikan kuota pengeluaran 60,000 metrik tan bagi minyak masak peket dan 42,000 metrik tan (gula) kepada pihak pengeluar bagi memastikan bekalan kedua-dua barangan itu tidak terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sepatutnya tidak ada yang kurang (bekalan minyak masak peket) kerana itu adalah kuota yang kita keluarkan kepada mereka, malah sebelum ini pun ada yang tidak sampai sebulan sudah habis kuota.

"Bagi gula pasir putih bertapis pula, melalui arahan pengawalan bekalan kita telah berikan kuota pengeluaran 24,000 metrik tan kepada Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan 18,000 metrik tan kepada Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk sebulan,” katanya. - Bernama.