Negeri Sembilan tetap syarat tambahan perbaharui lesen perniagaan

Arul Kumar menunjukkan senarai syarat tambahan yang dikuatkuasakan serta-merta.
Arul Kumar menunjukkan senarai syarat tambahan yang dikuatkuasakan serta-merta.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan syarat tambahan dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing, berkuat kuasa serta-merta.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, ia berikutan warga asing kini dilihat seolah-olah cuba menguasai perniagaan di beberapa lokasi tumpuan ramai.

Menurutnya, pihak PBT tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana warga asing namun terdapat beberapa kes membabitkan lesen yang dikeluarkan kepada warga tempatan telah disalah guna oleh segelintir peniaga berkenaan.

"Mereka dengan tidak bertanggungjawab membenarkan atau menyewa lesen tersebut kepada warga asing bagi menjalankan operasi perniagaan.

"Justeru, kerajaan negeri telah menyediakan beberapa syarat tambahan ke atas lesen perniagaan bagi sektor peruncitan dan perdagangan yang melibatkan warga asing dengan mengekalkan syarat sedia ada," katanya ketika sidang akhbar di Bilik Gerakan Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Jalan Jelebu, Pantai, di sini pada Khamis.

Katanya, antara syarat berkenaan ialah setiap pemohon lesen perlu mendaftar atau mendapatkan nombor fail, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terlebih dahulu dan mengemukakannya kepada PBT bagi membolehkan permohonan lesennya diproses.

"Bagi setiap satu premis perniagaan hanya akan diluluskan satu jenis lesen perniagaan sahaja dan perniagaan berkaitan. Selain itu, pemilik lesen atau wakil (warga tempatan) perlu berada di premis dalam setiap masa operasi perniagaan.

"Warga asing tidak dibenar bertugas di kaunter kewangan dan wajib mempunyai permit yang sah daripada pihak berkuasa berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Hanya yang diluluskan permit bekerja di sektor peruncitan dan perdagangan sekitar Negeri Sembilan sahaja dibenarkan bekerja di premis perniagaan tersebut, " katanya.

" Pemilik lesen perlu sentiasa mengemaskini senarai daftar pekerja warga asing yang mengandungi maklumat nama penuh, nombor kad pengenalan atau pasport, kerakyatan, alamat tempat tinggal, nombor telefon, kelayakan, gambar dan lain-lain butiran berkaitan pekerja," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyenaraikan beberapa jenis lesen perniagaan yang tidak dibenarkan untuk menggaji pekerja asing iaitu pusat siber, pasar malam,bazar Ramadan,pasar tani,ekspo dan kiosk makanan termasuk apa-apa kiosk lain.

"Sekiranya berlaku pelanggaran syarat sebagaimana yang dinyatakan, lesen perniagaan akan dibatalkan tanpa sebarang notis dan ia akan dibuat serta-merta. Bagaimanapun mereka dibenarkan membuat rayuan selepas satu tahun namun tertakluk kepada keputusan pengurusan tertinggi PBT," katanya.