X

Kindly register in order to view this article
!

LZNK peruntuk lebih RM1.3 juta bantu pelajar kurang berkemampuan

A
A

ALOR SETAR - Lebih RM1.3 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, bantuan persekolahan itu membabitkan 20,979 pelajar terpilih dalam kalangan asnaf hasil pemilihan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

"Kesemua pelajar ini akan menerima bantuan berkenaan secara berperingkat sebelum berakhir hujung bulan ini. Setiap pelajar akan menerima sepasang pakaian sekolah serta beg sekali gus menjimatkan perbelanjaan waris dalam mempersiapkan persekolahan anak anak.

"Bantuan seperti ini juga mampu membantu memberikan semangat kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan satu hari nanti mereka dapat mengubah taraf hidup keluarga masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syeikh Zakaria berkata, pelajar daripada daerah Kuala Muda adalah yang pertama menerima bantuan itu semalam yang melibatkan 3,486 pelajar daripada 79 sekolah.

"Selain Kuala Muda, bantuan di bawah Bahagian Pembangunan Asnaf LZNK itu membabitkan daerah Kota Setar melibatkan 3,180 pelajar, Kubang Pasu (2,552), Baling (2,403), Kulim (1,760), Pendang (1,751), Yan (1,100), Sik (1,091), Pulau Langkawi (998), Padang Terap (987), Pokok Sena (854) dan Bandar Baharu (817), " katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus