Arsenal hampiri pusingan kalah mati

Jorginho (tengah) meraikan jaringan dengan rakan sepasukan ketika menentang Sevilla. - Foto AFP
Jorginho (tengah) meraikan jaringan dengan rakan sepasukan ketika menentang Sevilla. - Foto AFP
A
A
A

ARSENAL semakin menghampiri peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas Leandro Trossard dan Bukayo Saka meledak gol untuk membantu The Gunners meraih kemenangan 2-0 menentang Sevilla, pada Khamis.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu kembali ke landasan kemenangan selepas kekalahan berturut-turut di saingan domestik hasil gol pembukaan babak pertama Trossard dan jaringan Saka selepas rehat di Stadium Emirates.

Dengan tiga kemenangan daripada empat perlawanan Kumpulan B, Arsenal menduduki tempat pertama, empat mata di depan PSV Eindhoven di tempat kedua.

Pasukan London utara itu berpeluang mara ke pusingan 16 terakhir jika mereka meraih hanya satu mata daripada baki perlawanan di tempat sendiri menentang Lens dan di PSV.

Menewaskan Sevilla adalah cara terbaik untuk Arsenal bangkit selepas kekalahan Piala Liga menentang West Ham dan berakhirnya permulaan tanpa kalah mereka dalam Liga Perdana Inggeris di Newcastle.

“Kami tidak perlu bertindak balas kerana kami bermain dengan sangat baik menentang Newcastle. Hari ini kami beraksi di laman sendiri, jadi kami memerlukan perkara yang berbeza. Saya sangat gembira dengan persembahan pemain.

“Kami menunjukkan sikap dan komitmen. Walaupun kami kehilangan bola, kami sangat bagus untuk mendapatkannya kembali. Itulah sebabnya kami menang," kata Arteta.

Artikel Berkaitan: