Mansuh BIPK langkah terkebelakang: Cuepacs

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Adnan Mat)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Adnan Mat)
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) serta beberapa elaun terhadap penjawat awam mulai Januari 2020 disifatkan sebagai satu langkah terkebelakang oleh kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, langkah diambil kerajaan ini sangat mengejutkan tambah lagi ketika negara kini berada pada landasan yang betul untuk Malaysia Maju 2025.

"Kita tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memansuhkan BIPK, malah kecewa apabila pemansuhan ini tiada rundingan secara terus dengan Cuepacs," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan penjawat awam yang menerima BIPK sudah memperolehnya sejak sekian lama

"Walaupun ia melibatkan pengambilan baharu, Cuepacs tetap tidak bersetuju kerana ia akan akan mewujudkan kumpulan yang berbeza sedangkan jawatannya adalah sama.

"Mereka perlu dikekalkan BIPK, selagi jawatan tersebut wujud kecuali bagi jawatan yang dimansuhkan. Perkhidmatan mereka juga rata-ratanya sangat mencabar, malah menjadi semakin kritikal ," katanya

Katanya, rata-rata skim yang terlibat kebanyakannya sudah meninggalkan perkhidmatan kerajaan kerana tawaran di luar yang lebih menarik dan jika BIPK dimansuhkan dikhuatiri makin ramai pakar-pakar kerajaan terus keluar dari perkhidmatan yang boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

"Pada ketika perkhidmatan awam ke arah reformasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, berita seperti ini (pemansuhan) amat menyedihkan.

"Cuepacs sedar akan kesusahan kerajaan memenuhi semua kehendak berdasarkan keutuhan kewangan negara pada masa kini tetapi berharap ia tidaklah sehingga memansuhkan BIPK," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, jangan jadikan pemberian BIPK sebagai satu beban kerana ia adalah penghargaan kepada mereka yang menjalankan amanah kerajaan kepada rakyat.

"Pemberian BIPK ini juga sebagai galakan kepada penjawat awam dalam meningkatkan kebolehpercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan yang memberi sokongan rakyat terhadap kerajaan.

"Oleh itu kami mohon perkara ini dipertimbangkan semula dan mansuhkan kepada jawatan yang tidak relevan sahaja," katanya.