Beri persepsi SPRM dipengaruhi kuasa eksekutif

Norhayati Nordin
Norhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan 'lampu hijau' untuk menyiasat mana-mana menteri atau pegawai kerajaan sekiranya wujud elemen rasuah mendatangkan persepsi tidak sihat terhadap agensi tu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, kenyataan tersebut juga mencerminkan suruhanjaya berkenaan turut dipengaruhi kuasa eksekutif dalam membuat sebarang keputusan untuk menjalankan siasatan tertentu.

"Apa yang jelas mengenai tugas dan tanggungjawab SPRM ialah melakukan siasatan mengikut perkara tertakluk di bawah undang-undang dan sebagai sebuah badan penguat kuasa harus menjalankan tanggungjawab dengan bebas dan telus.

"Selain telus dan bebas, tidak harus juga apa-apa keputusan yang dibuat SPRM ditadbir atau diputuskan mana-mana pihak khususnya eksekutif. Kita tidak mahu pengaruh tertentu akan terlibat dalam sebarang keputusan yang dibuat (oleh SPRM)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Azam mengenai Anwar telah memberikan 'lampu hijau' untuk menyiasat mana-mana menteri, pegawai kerajaan termasuk pegawai khasnya sendiri jika wujud elemen rasuah.

Menurut Azam, Anwar seorang individu yang serius dalam membanteras elemen rasuah, pernah memberitahunya untuk tidak menunggu arahan beliau untuk melakukan siasatan ke atas mana-mana mereka yang terpalit isu rasuah.

Dalam pada itu, Norhayati menjelaskan, ketika ini tuntutan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen juga didengari.

"Tuntutan daripada pihak KRPPM-IGAR telah pun kita bawa ke Parlimen untuk reformasi SPRM itu sendiri dan keperluan agar SPRM diletakkan di bawah Parlimen," katanya.

Artikel Berkaitan: