Kerajaan agih RM100 juta laksana kerja kecemasan luar jangka hadapi banjir

Nik Nazmi ketika bertemu pengamal media selepas meninjau tapak pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap hari ini. - Foto Bernama
Nik Nazmi ketika bertemu pengamal media selepas meninjau tapak pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengagihkan sejumlah RM100 juta kepada semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan kerja-kerja kecemasan luar jangka dalam menghadapi fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini dan berlarutan sehingga Mac 2024.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerja-kerja kecemasan itu merangkumi skop memulihkan sistem saliran dan perparitan, jalan dan jambatan serta memulihkan struktur kawalan banjir.

Beliau berkata, semua peruntukan itu telah pun selesai diagihkan menerusi tiga fasa bagi membolehkan projek berkenaan segera dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat serta melindungi keselamatan harta benda daripada bencana banjir.

"RM100 juta yang dibelanjakan itu adalah untuk seluruh negara dan diagihkan mengikut keperluan di negeri terbabit dan Pulau Pinang menerima RM5 juta.

Nik Nazmi (kiri) meninjau tapak pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap hari ini. - Foto Bernama
Nik Nazmi (kiri) meninjau tapak pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap hari ini. - Foto Bernama

"Selain kerja-kerja pemulihan struktur, kita turut mengambil inisiatif dengan menambah bilangan pam bergerak dan pam itu berfungsi untuk mempercepatkan aliran air banjir,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha NRECC, Dr Ching Thoo Kim dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang, Mohd Nazri Yasmin.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, sebanyak RM20 juta peruntukan diluluskan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk melaksanakan RTB Taman Siakap dengan kerjasama kerajaan negeri dan telah pun dimulakan 21 Ogos lalu dengan jangkaan siap pada 20 Ogos 2025.

Artikel Berkaitan:

"Komponen utama projek ini adalah kerja menaik taraf dua rumah pam, pembinaan tembok banjir, menaik taraf pembentung Lebuhraya Kurau kepada jambatan serta kerja-kerja berkaitan.

"Projek ini menyediakan tahap perlindungan banjir sehingga 100 tahun ARI (Purata Selang Ulangan) dan akan memberi manfaat kepada 8,000 penduduk di dalam kawasan sub-lembangan tersebut,” katanya.

Nik Nazmi (kanan) meninjau tapak pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap hari ini. - Foto Bernama
Nik Nazmi (kanan) meninjau tapak pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap hari ini. - Foto Bernama

Selain itu, beliau berkata, RTB Lembangan Sungai Pinang juga sedang dalam pelaksanaan melibatkan kos RM114.8 juta, manakala empat lagi dalam peringkat prapelaksanaan iaitu RTB Sungai Kechil di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), RTB Banjir Teluk Bahang, RTB Pondok Upeh dan Sungai Burung di Daerah Barat Daya serta RTB Sungai Dua Besar di Daerah Timur Laut.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan MTL atau musim tengkujuh di negara ini akan bermula pada 11 November dan berterusan sehingga Mac 2024. - Bernama