Banjir: Polis pertingkat kawalan cegah kes pecah rumah

Penduduk tidak perlu bimbang mengenai keselamatan harta benda mereka setelah dinasihatkan berpindah ke PPS. Gambar fail.
Penduduk tidak perlu bimbang mengenai keselamatan harta benda mereka setelah dinasihatkan berpindah ke PPS. Gambar fail.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mempertingkatkan kawalan di kawasan yang dilanda banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian pecah rumah susulan ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan harta benda mereka setelah dinasihatkan berpindah ke PPS.

"Orang ramai perlu patuh kepada arahan berpindah ke PPS kerana jika air semakin naik semakin susah untuk pihak berkuasa memindahkan mangsa banjir.

"Polis memberi jaminan akan meningkatkan rondaan di tempat dinaiki air untuk mengelakkan kejadian jenayah seperti pecah rumah," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.

Hussein berkata, pihaknya sudah bersedia sejak awal Oktober lalu dari segi aset dan bot yang hendak digunakan telah ditempatkan di lokasi berisiko banjir untuk tindakan segera.

"Kita juga sudah mengadakan mesyuarat dengan agensi berkaitan di peringkat negeri dan daerah berhubung kordinasi ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir," ujarnya.

Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 673 orang daripada 170 keluarga pagi Selasa berbanding 547 orang daripada 144 keluarga malam Isnin melibatkan banjir di kawasan Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang, Kajang, Subang Jaya.

Artikel Berkaitan: