Guru, pelajar sekolah diminta jaga kebersihan tandas - Hui Ying

Hui Ying menyertai persembahan tarian oleh murid SK Tan Sri P Ramlee ketika merasmikan Anjung Ketipang Payung di sekolah berkenaan pada Rabu.
Hui Ying menyertai persembahan tarian oleh murid SK Tan Sri P Ramlee ketika merasmikan Anjung Ketipang Payung di sekolah berkenaan pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Guru dan pelajar di semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan diminta menjaga tandas berikutan kerajaan telah membelanjakan RM578.02 juta untuk tujuan tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, peruntukan itu bagi penyelenggaraan tandas di 8,020 sekolah dan institusi pendidikan selain sekolah di bawah KPM sehingga akhir bulan lalu.

“Saya ingin menegaskan, selepas kerja menaik taraf, semua pihak termasuk guru dan pelajar bersama-sama menjaga kebersihan tandas dan tidak hanya menyerahkan tugas kepada petugas kebersihan.

"Ini kerana, peruntukkan penyelenggaraan tandas hanya diberikan sekali sahaja oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Beliau sangat mengambil berat tentang keselamatan dan keselesaan persekitaran pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar kita di sekolah di bawah kementerian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee, di sini pada Rabu.

Dalam perasmian tersebut, Hui Ying mengumumkan sumbangan RM98,854 daripada peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada SK Tan Sri P Ramlee bagi tujuan kerja-kerja menaik taraf.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, secara amnya, sekolah menerima RM70,000 untuk penyelenggaraan tandas yang mana, setakat ini, hanya segelintir sekolah sahaja (penyelenggaraan tandas) masih belum selesai.

"Bagi yang telah siap, kami berpuas hati dengan kemajuan yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif penyelenggaraan tandas ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri yang mahukan kemudahan tandas bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.

"Ia juga selaras dengan agenda kerajaan dalam membangunkan Malaysia Madani," katanya.

Sementara itu, Hui Ying berkata, kementerian menyedari isu kemudahan di sekolah termasuk keperluan mendesak yang memerlukan tindakan segera daripada kementerian.

“Kementerian memberi perhatian kepada isu-isu ini bagi memastikan pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif terutama bagi pelajar berkeperluan khas serta menggalakkan mereka gigih dalam pembelajaran,” tambahnya.