MB Kelantan rai konvokesyen anak di UniSZA

Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya, Amanina pada Majlis Konvokesyen UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu pada Rabu.
Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya, Amanina pada Majlis Konvokesyen UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Kesibukan tugas tidak menghalang Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menghadiri majlis konvokesyen anak bongsunya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Rabu.

Beliau bersama isteri, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob tiba di Terengganu pada malam Selasa bagi meraikan kejayaan anak bongsu mereka iaitu Amanina Mohd Nassuruddin yang telah menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Usuluddin di UniSZA.

"Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai tarikh konvokesyen yang telah ditetapkan UniSZA, saya telah mengosongkan jadual rasmi sebagai Menteri Besar supaya dapat meraikan kejayaan Amanina pada hari istimewanya.

"Malah saya turut memesan kepada pegawai-pegawai supaya kosongkan jadual kecuali program atau majlis yang benar-benar penting sekiranya ada melibatkan Tuanku (Sultan Kelantan).

"Ia merupakan pengalama berharga dan detik bersejarah buat anak bongsu saya yang menerima diploma pada hari ini.

"Jadi sebagai ibu bapa tak salah kita luangkan masa bersama anak-anak selain menghargai kejayaan mereka dalam bidang pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sesi terakhir majlis konvokesyen UniSZA di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin menyatakan bahawa beliau seorang ayah yang sangat mementingkan pendidikan untuk kesemua tujuh anaknya.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, empat anak saya telah bergraduasi di luar negara tetapi saya tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis konvokesyen mereka.

"Namun tiga anak saya yang belajar di universiti dalam negara iaitu dua daripadanya ialah di UniSZA, memang saya sedaya upaya akan hadir ke majlis konvokesyen mereka.

"Selain itu, saya juga berterima kasih kepada UniSZA terutama kalangan pensyarah dan kakitangan yang telah menjalankan tugas mereka sebaik mungkin bagi melahirkan graduan yang berkualiti demi masa depan negara," jelasnya.