BjaQ Group perkenal AI pendidikan bantu pelajar

Penasihat IT BjaQ Group dan Pakar Pengkhususan Bidang, Ridzman Azzahri memberi penerangan mengenai AI Pendidikan kepada pelajar di Maahad Ehyak Diniah Islamiah Jalan Tanjung Tualang, Perak pada Sabtu
Penasihat IT BjaQ Group dan Pakar Pengkhususan Bidang, Ridzman Azzahri memberi penerangan mengenai AI Pendidikan kepada pelajar di Maahad Ehyak Diniah Islamiah Jalan Tanjung Tualang, Perak pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - BjaQ Group (M) Sdn Bhd memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) pendidikan menerusi platform media sosial yang menggabungkan fungsi teknologi itu dan bantuan daripada guru berkemahiran untuk membantu pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirul Anas Abdul Aziz berkata, gabungan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk memilih salah satu perkhidmatan antara kedua tawaran itu bagi memudahkan sesi soal jawab berkaitan pelajaran.

“Pengoperasian bagi perkhidmatan itu disediakan menerusi aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram setiap hari tanpa henti untuk memberi peluang kepada pelajar dalam mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pelajaran.

Amirul Anas
Amirul Anas

“Pada permulaannya agak mencabar tetapi setelah melakukan jerayawara (roadshow) dan ujian rintis kepada pelajar di sekolah, ia diterima baik oleh guru serta pelajar mengenai konsep pembangunan AI pendidikan ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah beliau, pengenalan terhadap AI penting bagi menggalakkan pelajar untuk melibatkan diri dengan bahan pembelajaran dalam ruang yang lebih selesa.

Bagaimanapun katanya, perkhidmatan yang disediakan tersebut bukan untuk memberi jawapan secara terus kepada pelajar, tetapi lebih kepada membimbing mereka bagi mendapatkan solusi dengan lebih berkesan.

“Dalam masa sama, kami turut mengenal pasti bahawa prestasi akademik bukan sahaja dipengaruhi oleh sukatan pelajaran semata-mata tetapi turut melibatkan faktor lain seperti keluarga, interaksi sosial dan isu peribadi.

Artikel Berkaitan:

“Untuk memastikan perkara ini terkawal, kami sedang membangunkan kaunselor AI iaitu rakan digital yang menyokong kesihatan emosi, menawarkan perkhidmatan mendengar dan bimbingan untuk masalah peribadi mereka,” ujarnya.

Penerangan mengenai AI Pendidikan kepada pelajar di SMK Bukit Katil, Melaka pada 10 Oktober.
Penerangan mengenai AI Pendidikan kepada pelajar di SMK Bukit Katil, Melaka pada 10 Oktober.

Jelas Abdul Anas, perkhidmatan itu menggunakan kaedah langganan yang mengenakan caj secara bulanan iaitu RM10, namun pihaknya sedang mengusahakan untuk membantu pelajar asnaf menerusi tajaan daripada syarikat korporat.

Menurutnya, Yayasan Pendidikan Malaysia (YPM) akan bersama-sama membantu syarikatnya untuk mendapatkan tajaan kerana akses pembelajaran adalah matlamat dan visi mereka.

“Projek ini akan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat bagi peringkat negeri di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Alor Gajah, Melaka dan akan dihadiri oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman.

“Saya percaya projek ini merupakan mercu tanda kemajuan dalam sistem pendidikan Malaysia sekali gus mengorak langkah ke arah memupuk generasi baharu bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga berdaya tahan secara emosi,” jelas beliau.