Jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan boleh dipikul anak tempatan - Peja

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan boleh dipikul oleh anak tempatan.

Sehubungan itu, beliau bercadang untuk memaklumkan kepada Pengerusi dan Majlis Tertinggi PN agar dibuat pertukaran jawatan tersebut.

Menurutnya, jawatan tersebut adalah lantikan Pengerusi PN dengan persetujuan Majlis Tertinggi PN.

“Maka, saya bercadang untuk memaklumkan kepada Pengerusi dan Majlis Tertinggi serta mencadangkan agar dibuat pertukaran Pengerusi PN Negeri Sembilan.

“Saya berpandangan, jawatan tersebut boleh dipikul oleh anak tempatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Peja seolah-olah tidak lagi berminat - Rafie

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan layan Chegu Bard - Peja

Ahmad Faizal dilantik sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 2 Jun lalu, menggantikan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang digugurkan daripada jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha menyarankan Ahmad Faizal agar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan sekiranya tidak lagi berminat untuk menjalankan tugasnya.

Menurutnya, ini kerana bekas Menteri Besar Perak itu dilihat tidak memainkan peranannya sebaik mungkin selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

"Kalau beliau rasa sudah tidak lagi berminat untuk teruskan tugasnya sebagai Pengerusi PN, sebaiknya serahkan segera kepada tokoh lain yang barangkali lebih sesuai dan dekat dengan Negeri Sembilan.

"Lagipun, ketika beliau ambil alih jawatan itu pun memang ada suara-suara yang tidak berpuas hati mempersoalkan kenapa melantik orang luar sedangkan ada saja tokoh dari Bersatu di negeri ini," katanya mengulas dakwaan yang Ahmad Faizal seperti menghilangkan diri selepas PRN.

Beliau yang merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PN, namun berharap ia dapat diselesaikan segera demi menjaga imej gabungan itu di Negeri Sembilan. - Awani