Peja seolah-olah tidak lagi berminat - Rafie

Dari kiri: Ahmad Faizal, Rafiei Mustapha
Dari kiri: Ahmad Faizal, Rafiei Mustapha
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disaran meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sekiranya tidak lagi berminat untuk menjalankan tugasnya.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, ini kerana bekas Menteri Besar Perak itu dilihat tidak memainkan peranannya sebaik mungkin selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri(PRN) Ogos lalu.

"Kalau beliau rasa sudah tidak lagi berminat untuk teruskan tugasnya sebagai Pengerusi PN, sebaiknya serahkan segera kepada tokoh lain yang barang kali lebih sesuai dan dekat dengan Negeri Sembilan.

"Lagi pun ketika beliau ambil alih jawatan itu pun memang ada suara-suara yang tidak berpuas hati mempersoalkan kenapa melantik orang luar sedangkan ada saja tokoh dari Bersatu di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian bagi mengulas dakwaan yang Ahmad Faizal seperti menghilangkan diri selepas PRN.

Beliau yang merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PN, namun berharap ia dapat diselesaikan segera demi menjaga imej gabungan itu di Negeri Sembilan.

Ujarnya, kali terakhir mereka bersua muka dalam mesyuarat post mortem selepas dua minggu PRN dan kini hanya berkomunikasi melalui kumpulan WhatsApp.

"Pas tiada masalah dengan beliau dan ketika menghadapi PRN lalu, saya rasa kerjasama kita sangat baik dan kalau diperhatikan PN Negeri Sembilan memperoleh pencapaian baik apabila menang di lima kerusi Dewan Undangan Negeri dan hampir menang di 10 kerusi apabila tewas dengan majoriti bawah 500.

"Kalau ada masalah dalaman itu biasalah, tapi kami dalam Pas memang tiada masalah dengan beliau (Ahmad Faizal), cumanya dari pandangan saya, YB Peja seolah-olah tidak lagi berminat," katanya

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, oleh kerana jawatan itu milik Bersatu, perlunya parti itu melantik seorang ketua yang dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin demi menjaga nama baik PN Negeri Sembilan.

Untuk rekod, Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan berkuat kuasa Jun lalu bagi menggantikan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith yang digugurkan daripada jawatan itu.

Ahmad Faizal berkata pengambilalihan jawatan itu antara lain bagi membantu persiapan akhir jentera pilihan raya PN negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas sebab Eddin Syazlee digugurkan daripada jawatan itu.