Maafkan kami, Palestin!

Malaysia yang mencintai keamanan tidak akan membiarkan Palestin berseorangan. Foto hiasan
Malaysia yang mencintai keamanan tidak akan membiarkan Palestin berseorangan. Foto hiasan
A
A
A

SEBULAN berlalu, namun sehingga ke hari ini rejim Zionis masih belum berhenti menjatuhkan bom di bumi Gaza.

Lebih 10,000 nyawa orang awam terkorban dengan majoriti wanita dan kanak-kanak, sementara ratusan ribu kehilangan tempat tinggal.

Tiada tempat selamat untuk dua juta penduduk berlindung, malah hospital dan kem penempatan turut menjadi sasaran.

Meskipun dihujani bom tanpa mengira masa, penduduk Gaza tidak berganjak mempertahankan tanah air mereka dan sedia mati syahid daripada tunduk kepada kekejaman Israel.

Ketika ini, negara yang menyokong Palestin berusaha sedaya mungkin memberi tekanan kepada Israel agar segera melakukan gencatan senjata.

Dunia melihat situasi di Gaza bukan satu peperangan sebaliknya pembasmian etnik oleh Israel bagi mencapai agenda menjajah Palestin sejak 75 tahun lalu.

Banyak negara mahu serangan di Gaza dihentikan serta-merta agar tiada lagi nyawa insan tidak berdosa terkorban.

Malaysia antara negara yang sejak dahulu lagi lantang bersuara di peringkat antarabangsa menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sebelum ini juga Malaysia tanpa gentar secara terbuka mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan Israel.

Pemegang pasport Malaysia tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke penempatan haram Yahudi itu dan tidak menerima kehadiran rakyat Israel ke negara ini.

Ini menunjukkan ketegasan membantah pencerobohan tanah berdaulat Palestin yang telah membunuh ribuan nyawa penduduk tanpa belas kasihan.

Malaysia turut menyelar kuasa besar dan negara barat yang membiarkan kekejaman rejim zionis Israel terhadap Palestin.

Artikel Berkaitan:

Sehingga ke hari ini, Malaysia tidak putus-putus menghulurkan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan pakaian.

Malah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyalurkan dana membina sekolah, hospital, masjid dan infrastruktur lain melalui kutipan sumbangan orang ramai.

Pelajar Palestin juga ditawarkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Malaysia yang mencintai keamanan tidak akan membiarkan Palestin berseorangan sehingga tanah penuh keberkatan itu termasuk Masjid Al-Aqsa bebas sepenuhnya daripada kekejaman Israel.

Namun, maafkan kami wahai Gaza seandainya usaha yang dilakukan selama ini belum cukup untuk mengurangkan penderitaan mereka.