KKDW sasar Kemas lahirkan 100,000 hufaz cilik menjelang 2026 - Ahmad Zahid

Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan menyaksikan pemeterian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kemas dan Yayasan Pahang di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Kampung Sri Batu hari ini. Turut sama Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan Wan Rosdy. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yakin Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mampu melahirkan generasi celik al-Quran menerusi Program Pra Tahfiz Tabika Kemas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, menerusi program itu 100,000 kanak-kanak huffaz akan dilahirkan menjelang 2026.

Beliau berkata, pembentukan umat penghafaz al-Quran boleh membawa impak kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

"Pengisian Modul Pra Tahfiz Tabika Kemas merujuk sepenuhnya Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang dengan teknik hafazan dan kaedah pembelajaran secara fun learning dan bagi surah-surah dalam juzu’ amma dan surah pilihan (Juzuk 30) dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur.

"Modul Pra Tahfiz Tabika Kemas ini menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 1,500 orang kanak-kanak yang mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha serta bersedia masuk ke Tahun Satu,” katanya.

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Kemas dan Yayasan Pahang bagi melaksanakan Program Tabika Pra Tahfiz di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Kampung Sri Batu hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kemas dan Yayasan Pahang yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas di Kampung Seri Batu, Sentul di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian MoA itu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.

Ahmad Zahid berkata, menerusi MoA itu, kerjasama antara Kemas dan Yayasan Pahang akan melibatkan penggunaan Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), khidmat nasihat, perakuan sijil kompetensi kepada pengajar, perakuan sijil tamat modul kepada pelajar Tabika Kemas, penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Kemas-Yayasan Pahang, dan penyediaan tenaga pengajar.

Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan menyaksikan pemeteraian MoA antara Kemas dan Yayasan Pahang di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Kampung Sri Batu hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan menyaksikan pemeteraian MoA antara Kemas dan Yayasan Pahang di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Kampung Sri Batu hari ini. - Foto Bernama

"Kerjasama ini turut melibatkan Yayasan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membantu dalam memberikan latihan kemahiran asas al-Quran seperti tajwid dan mahraj kepada pendidik Tabika Kemas secara berkala di peringkat Parlimen atau negeri seluruh Malaysia,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Tabika Kemas. - Bernama