Tingkat mutu pendidikan murid mulai tahun depan - Anwar

Anwar berucap pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama
Anwar berucap pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa untuk memberi tumpuan bagi meningkatkan dan mengangkat mutu pendidikan pelajar mulai tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi murid harus seiring dengan isu prasarana sekolah yang telah diselesaikan kerajaan tahun ini.

"Kemudahan asas sekolah sudah cukup tetapi prestasi murid tidak berubah, kita tidak boleh terima," katanya menerusi ucapan majlis penyerahan dan perasmian projek rintis bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, agenda usaha untuk meningkatkan mutu prestasi murid perlu dibincangkan di dalam mesyuarat pertama Januari depan.

"Saya mahu guru-guru bertanggungjawab terhadap subjek tersebut mengemukakan cadangan," katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik dan kekuatan Kerajaan Perpaduan telah membuka peluang dan ruang untuk tumpuan penuh diberikan kepada perkara lebih penting khususnya aspek pendidikan negara.

"Kalau Malaysia mahu bersaing dengan perubahan dan transformasi, negara perlu tingkatkan mutu pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Kedudukan negara tidak akan terangkat jika mutu pendidikan tidak menunjukkan kemajuan," katanya.

Anwar beramah mesra bersama murid sekolah pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama murid sekolah pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama

Ujar Anwar, usaha tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri KPT, Mohamed Khaled Nordin.

"Insya-ALLAH pada mesyuarat jemaah menteri Jumaat ini saya juga akan menekankan perkara ini," katanya.

Selain itu, Anwar turut menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memainkan peranan bersama kerajaan meningkatkan mutu pendidikan murid.

"Selain bincang perkara lain, PIBG bincang juga bagaimana ibu bapa boleh beri perhatian untuk anak-anak lakukan ulang kaji selama setengah atau sejam setiap hari,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau meminta agar Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Noridah Manap mengemukakan laporan dan cadangan prestasi murid secara khusus kepadanya.

"Selepas laporan dihantar kepada pihak kementerian saya harap salinannya disampaikan kepada Pejabat Perdana Menteri pada minggu kedua Januari," katanya.

Pada perkembangan berbeza, Anwar menyarankan agar anak-anak diberi penjelasan sewajarnya mengenai konflik di Gaza.

"Mereka harus tahu isu Palestin ini, mengapa Israel menyerang Gaza, tanah dirampas, rumah dipecahkan, rakyat tidak diberi kebebasan hak lebih 70 tahun lalu," katanya.

Menurutnya, penerangan harus diberikan secara bertanggungjawab agar tidak membawa kepada idea permusuhan dalam kalangan masyarakat.

"Kita nak didik supaya anak-anak faham. Janganlah hal ini menjadi isu peningkatan suhu perbezaan pendapat," katanya.

Terdahulu, Anwar merasmikan penyerahan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi yang menempatkan empat bilik darjah dan dua tandas.

Anwar beramah mesra bersama murid sekolah pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama murid sekolah pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama

Pembinaannya memakan masa selama tiga bulan menggunakan kaedah reka bentuk Pre Approved Plan (PAP) serta industrialized Building System (IBS).

Bangunan tersebut antara 996 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah dengan kos keseluruhan RM6.525 bilion.

Sehingga 3 November sebanyak 688 projek pembinaan semula bangunan daif telah siap manakala 118 di peringkat pembinaan serta 190 lagi di peringkat prabina.