Temerloh pula dilanda banjir

A
A
A
KUANTAN - Temerloh menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir selepas Rompin dengan jumlah keseluruhan mangsa di pusat penempatan sementara (PPS) di negeri ini seramai 1, 074 mangsa daripada 274 keluarga sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Penolong Pesuruhjaya (PA), Zainal Yusof berkata, tiga keluarga yang dipindahkan di Temerloh membabitkan 19 mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di Rompin terus mencatatkan peningkatan kepada 1,055 orang berbanding 790 mangsa membabitkan 204 keluarga semalam.

"Setakat ini, 11 PPS dibuka di Rompin iaitu di Balai Raya Rekoh, Balai Raya Lintang/ Surau Kampung Perpat; Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok; Balai Raya Kampung Sepayang; Balai Raya Kampung Janglau; pusat pemindahan banjir Kampung Setajam.

"Selain itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu; Dewan Angkat Berat Rompin; SK Sarang Tiong, Balai Raya Bukit Lepas dan Balai Raya Kampung Denai," katanya.

Menurutnya,hujan yang berterusan menyebabkan dua sungai di daerah ini mencatat peningkatan paras air iaitu melepasi paras berjaga-jaga pagi ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my jam 11 pagi ini, paras Sungai Lembing mencecah 34.68 meter (m) berbanding bacaan normal 32m manakala Sungai Kuantan di pasir Kemudi pula 5.30m berbanding bacaan normal 2m.

Beberapa sungai lain di daerah ini seperti Sungai Kuantan di Bukit Kenau melebihi paras normal iaitu 19.96m (17 m), diikuti Sungai Semantan di Kampung Lengkong, Temerloh merekodkan 49.48m (paras normal 49m).

Sungai lain pula di Sungai Bentong di Kuala Marong, Bentong, mencatat bacaan 87.04 meter (paras normal 86m) manakala Sungai Triang, Triang di Bera mencatat 33.10 meter (paras normal 31m).
Artikel Berkaitan:


Habis

Caption: