Bursa Malaysia ditutup tinggi

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.74 mata untuk ditutup kepada 1,464.67 daripada paras penutup 1,449.93 pada Jumaat minggu lepas. Foto hiasan
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.74 mata untuk ditutup kepada 1,464.67 daripada paras penutup 1,449.93 pada Jumaat minggu lepas. Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks petunjuk pasaran meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih daripada lapan bulan sebanyak 1.02 peratus disokong oleh momentum belian susulan sentimen pasaran serantau yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.74 mata untuk ditutup kepada 1,464.67 daripada paras penutup 1,449.93 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 2.46 mata kepada 1,452.39 dan bergerak antara paras 1,452.29 dan 1,464.67 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 665 berbanding 284, manakala 441 kaunter tidak berubah, 961 tidak diniagakan dan 22 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.76 bilion unit bernilai RM2.34 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Jumaat.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks utama serantau juga mencatatkan aliran meningkat susulan keyakinan tinggi bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan menamatkan siri kenaikan kadar faedahnya.

Dalam masa yang sama, katanya, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menyusut kepada 4.58 peratus awal Isnin, turun daripada paras kemuncak melebihi 5.0 peratus pada dua minggu lepas.

"Bagi pasaran tempatan kami yakin dengan prospek untuk tempoh terdekat hingga sederhana memandangkan peningkatan sentimen pasaran tempatan dan aliran masuk asing yang kembali semula ke dalam pasaran,” kata Thong kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, penurunan hasil bon AS dan ekonominya yang kekal dalam keseimbangan bermakna Fed AS akan kurang mempengaruhi dasar pada masa depan.

"Manakala bagi negara kita, ia memberi kelegaan besar kepada Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menumpukan kepada pertumbuhan dan bukan sebaliknya bimbang dengan prestasi mata wang dan pasaran bon.

"Jika hasil bon global terus jatuh dan ringgit mengukuh balik di bawah paas 4.50 berbanding dolar AS, ia mungkin akan membolehkan BNM mula membincangkan mengenai penurunan kadar.

"Saya fikir pasaran akan memerlukan sedikit lagi masa untuk memastikan inflasi susut tetapi kita mungkin memasuki tempoh titik perubahan kerana saham tempatan masih berada di bawah nilai,” katanya kepada Bernama.

Di Bursa Malaysia, dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank meningkat tujuh sen setiap satu masing-masing kepada RM9.11 dan RM4.25, CIMB melonjak lapan sen kepada RM5.81, TNB naik tiga sen kepada RM10, Petronas Chemicals melonjak 15 sen kepada RM7.34 dan IHH Healthcare menokok dua sen kepada RM6.01.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dagang Nexchange dan PDZ holdings naik 1.5 sen masing-masing kepada 44 sen dan 5.5 sen, CN Asia meningkat setengah sen kepada 19 sen, SMTrack dan Widad tidak berubah masing-masing pada 4.5 sen dan 45 sen, manakala KNM susut setengah sen kepada 9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 110.49 mata kepada 10,809.43, Indeks FBMT 100 menokok 105.22 mata kepada 10,473.63 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 106.10 mata kepada 11,012.89.

Indeks FBM 70 naik 142.28 mata kepada 14,240.81 dan Indeks FBM ACE meningkat 23.88 mata kepada 5,122.87.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.46 mata kepada 173.17, Indeks Perladangan naik 37.40 mata kepada 6,990.65 dan Indeks Tenaga menambah 0.99 mata kepada 876.47.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 156.94 mata kepada 16,455.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.59 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 1.94 bilion unit bernilai RM1.71 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran turun kepada 388.59 juta unit bernilai RM49.43 juta daripada 537.52 juta bernilai RM77.88 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 778.81 juta saham bernilai RM211.14 juta daripada 1.12 bilion saham bernilai RM229.56 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 372.03 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (845.74 juta); pembinaan (181.26 juta); teknologi (248.88 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (76.48 juta); hartanah (232.18 juta); perladangan (44.55 juta); REITs (146.30 juta), dana tertutup (69,800); tenaga (169.79 juta); penjagaan kesihatan (98.27 juta); telekomunikasi dan media (43.87 juta); pengangkutan dan logistik (98.93 juta); dan utiliti (158.94 juta). - Bernama