Deepavali: Keluarga penghuni penjara dibenar melawat pada 14, 15 November

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga kepada penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney, dibenar untuk membuat lawatan sempena sambutan Deepavali pada 14 dan 15 November ini.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Hindu sahaja, menerusi perjumpaan secara bersemuka atau dalam talian.

"Keluarga yang memilih kaedah bersemuka, waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang. Kaedah secara dalam talian bermula pada 16 hingga 18 November,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan jabatan itu memaklumkan seorang penghuni, hanya dibenar untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada ahli keluarga yang membuat janji temu menerusi tiga kaedah tempahan, iaitu sama ada melalui sistem i-Visit di laman web www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

"Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat. Orang awam boleh menghubungi institusi berkaitan, untuk mendapatkan maklumat lanjut atau melalui laman web www.prison.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, keluarga yang memilih kaedah bersemuka, perlu membuat ujian RT-PCR atau RTK-Ag (swab/saliva) yang sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala, sebelum hadir ke institusi berkenaan, di samping membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

"Pelawat tertakluk kepada akta dan peraturan penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: