Tumpu agenda lahirkan generasi seimbang - Sultanah Nur Zahirah

Sultanah Nur Zahirah (tengah) pada istiadat Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) pada Ahad.
Sultanah Nur Zahirah (tengah) pada istiadat Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diminta untuk memberi tumpuan kepada agenda melahirkan generasi seimbang.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA bertitah, usaha membebaskan anak muda dari penjara maya kepada merdeka jiwa, mandiri peribadi dan teguh iman perlu dilaksanakan pada zaman kecanduan terhadap skrin dan alam meta ini.

"Kecanduan terhadap alam maya ini boleh menyebabkan keruntuhan nilai.

"Oleh itu beta berharap UniSZA akan memastikan pendigitalan universiti yang dilaksanakan seiring dengan pembangunan sosial mahasiswa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada istiadat Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) di sini, pada Ahad.

Pada majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Buat julung kalinya, UniSZA menganugerahkan Profesor Emeritus kepada bekas Naib Canselor UniSZA dan juga profesor di Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT), UniSZA, Datuk Dr Alias Daud.

Seramai 3,608 graduan menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini bermula Ahad hingga Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

Daripada keseluruhan graduan diraikan itu, 111 daripadanya merupakan graduan doktor falsafah, 76 graduan sarjana, 2,057 graduan sarjana muda serta 1,254 graduan diploma.