Dua murid Orang Asli lakar sejarah ke pertandingan robotik di China

Nazril (tengah) dan Aizal (dua dari kiri) menjalani latihan pada setiap minggu sebagai persiapan menghadapi pertandingan robotik pada bulan depan.
Nazril (tengah) dan Aizal (dua dari kiri) menjalani latihan pada setiap minggu sebagai persiapan menghadapi pertandingan robotik pada bulan depan.
A
A
A

PEKAN - Dua murid Orang Asli daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang melakar sejarah apabila terpilih mewakili negara dalam pertandingan Make X 2023 International Robotics Competition di Yantai Shandong, China bulan depan.

Mereka ialah Aizal Rashid dan Nazril Nazaran akan bersaing di peringkat antarabangsa dalam pertandingan robotik yang menghimpunkan pasukan daripada 63 negara.

Mentor robotik SK Permatang Keledang, Wan Rahmat Wan Ismail berkata, murid tahun enam terbabit terpilih selepas mereka menang tempat kedua kategori Make X Starter pada Malaysia Make X 2023 Robotics Competition di Universiti UCSI, Kuala Lumpur bulan lalu.

Menurutnya, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan sekolah dan negeri Pahang, tetapi juga membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

"Kejayaan mereka (Aizal dan Nazril) membuktikan mereka boleh berdiri sama tinggi dengan rakan mereka daripada kaum lain.

"Sokongan berterusan diberikan oleh guru dan pihak sekolah menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk berjaya," katanya pada Ahad.

Wan Rahmat (kanan) dan Mohd Zulkhairi (dua, kiri) bersama Nazril (tiga, kiri) serta Aizal (tiga, kanan) bergambar selepas melakar kemenangan dalam pertandingan Make X Starter pada Malaysia Make X 2023 Robotics Competition di Universiti UCSI, Kuala Lumpur bulan lalu. - Foto Cikgu Mohd Zulkhairi
Wan Rahmat (kanan) dan Mohd Zulkhairi (dua, kiri) bersama Nazril (tiga, kiri) serta Aizal (tiga, kanan) bergambar selepas melakar kemenangan dalam pertandingan Make X Starter pada Malaysia Make X 2023 Robotics Competition di Universiti UCSI, Kuala Lumpur bulan lalu. - Foto Cikgu Mohd Zulkhairi

Selain, Wan Rahmat pasukan ini turut dibantu mentor, Mohd Zulkhairi Umar dan dua murid tahun enam daripada SK Sultan Ahmad, Pekan, Wan Mohamad Firdaus Wan Rahmat dan Arman Malique Mohd Khairi Azim bergabung dalam satu pasukan membawa cabaran negara.

Artikel Berkaitan:

Wan Rahmah berkata, pengalaman dua tahun terlibat dalam bidang robotik dengan menyertai pertandingan pelbagai peringkat dapat memberi kelebihan kepada Aizal dan Nazril untuk mencetuskan keputusan yang membanggakan untuk negara.

Ujarnya, latihan pada setiap minggu diadakan sebagai persiapan menghadapi pertandingan berkenaan memandangkan peserta bertanding daripada negara maju dalam bidang robotik seperti China, Jepun dan Korea.

Beliau menambah, dana peruntukan diperlukan bagi membolehkan peserta yang terlibat ke pertandingan terbabit.

"Kita perlu sediakan lebih RM4,000 untuk setiap murid bagi tiket penerbangan, hotel dan makan. Pakaian musim sejuk juga terpaksa disediakan kerana bulan depan musim sejuk mula berlaku di negara tembok besar itu.

"Jadi, saya bagi pihak murid mengharapkan sumbangan daripada individu dan syarikat korporat serta agensi kerajaan untuk menyumbang bagi menjayakan misi melakar kejayaan untuk pasukan negeri dan negara," katanya yang bersama dua lagi guru akan turut mengiringi pasukan ke China.

Wan Rahmat memaklumkan pihak sekolah diketuai guru besar, Rusmina Hassan kini berusaha mendapatkan sumbangan bagi mencapai cita-cita membawa pasukan robotik SK Permatang Keledang kali pertama bertanding di luar negara.