Keputusan rayuan Isa Samad 28 November ini

Isa Samad
Isa Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 28 November ini untuk keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi media, mengesahkan perkara itu.

Notis berhubung penetapan tarikh itu dikeluarkan pada 17 Oktober lalu dan diserahkan kepada pihak pembelaan Mohd Isa, Tetuan Salehuddin Saidin & Assoc dan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Surat makluman itu turut dihantar kepada Mohd Isa selaku perayu dan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid selaku penjamin.

Menurut notis berkenaan, pihak perayu perlu memfailkan hujahan bertulis tambahan pada atau sebelum 25 Oktober manakala hujahan balas difailkan pada atau sebelum 1 November lalu.

Sementara itu, Afzainizam berkata, pihak perayu dan pendakwaan telah memfailkan hujahan tambahan pada tarikh-tarikh yang diarahkan oleh mahkamah lanjutan daripada isu yang dibangkitkan oleh peguam Mohd Isa.

Keputusan itu akan diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.


Tommy perlu fail penyataan tuntutan 4 Disember

 Tommy Thomas
Tommy Thomas

Dalam perkembangan berasingan, Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat mengarahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memfailkan penyataan tuntutan pada atau sebelum 4 Disember depan, berhubung saman dikemukakan terhadap Pasukan Petugas Khas (STF) dan Kerajaan Malaysia.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili STF dan kerajaan berkata, pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 30 Januari tahun depan.

"STF dan kerajaan perlu memfailkan penyataan pembelaan pada 4 Januari tahun sama, sementara balasan jawapan oleh Tommy pada 18 Januari," katanya selepas dihubungi media sejurus selesai pengurusan kes, secara e-review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Haslinda A Raof.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Tommy memfailkan saman pemula (OS) dengan memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk 'Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness' adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang.

Beliau yang berkhidmat selaku Peguam Negara antara Jun 2018 dan Februari 2020, menamakan pengerusi dan ahli STF serta kerajaan Malaysia selaku defendan.

Mereka adalah Pengerusi, Datuk Seri JC Fong dan ahlinya, Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Suri.

Tommy turut memohon perisytiharan bahawa STF adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, turut dipohon ialah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, telah melanggar haknya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan STF yang dinyahklasifikasikan kerajaan pada 13 Oktober tahun lalu, antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan telah dilakukannya.

Ia adalah antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pasukan khas itu juga mencadangkan empat langkah yang perlu diambil kerajaan bagi menangkis persepsi umum terhadap campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman atau kekurangan kebebasan kehakiman.

Langkah itu termasuk pindaan ke atas Seksyen 5(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi membolehkan pelantikan empat individu yang dihormati dalam JAC, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara.

Begitu juga, Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya.

Pada 2 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan saman itu dipindahkan serta diputuskan melalui perbicaraan saman sivil.

Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang sepatutnya memutuskan permohonan STF dan kerajaan untuk membatalkan saman itu dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak bersedia untuk membatalkan saman itu.