Sorok rokok seludup RM4.1 juta dalam bungkusan mi segera

Hamisan (tengah) menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas di Pelabuhan Klang, pada 26 Oktober lalu.
Hamisan (tengah) menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas di Pelabuhan Klang, pada 26 Oktober lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM4.1 juta yang disorokkan dalam kontena berisi bungkusan mi segera di Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 Oktober lalu.

Kejayaan itu hasil pemeriksaan dibuat anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan negeri bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM kira-kira kira-kira jam 3.15 petang.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, pemeriksaan lanjut menemui 1,832 kotak bertanda mi segera yang mengandungi rokok putih disyaki tidak berkastam.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengikrar dagangan sebagai mi sup dan disorokkan dalam kotak bertanda mi segera.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 5,771,520 juta batang rokok melibatkan nilai anggaran RM461,721.60 dan cukai berjumlah RM3,698,390.02 berjaya dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, di sini pada Jumaat.

Hamisan berkata, semakan yang dibuat mendapati kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan syarikat penghantaran dan logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

Katanya, menerusi dokumen yang diperolehi, dagangan itu disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Barat dan dipercayai untuk jualan pasaran tempatan.

"Seorang pengarah syarikat penghantaran dan logistik yang berusia 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki terbabit tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan dibebaskan atas jaminan selepas keterangannya selesai dirakamkan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) dan Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksesais 1976.