Bawa 1.56 juta batang rokok seludup demi upah RM550

Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan lori bonded yang digunakan untuk menyeludup rokok dari Kelantan ke Lembah Klang.
Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan lori bonded yang digunakan untuk menyeludup rokok dari Kelantan ke Lembah Klang.
A
A
A

TUMPAT - Demi upah RM550, seorang pemandu lori sanggup mengambil risiko dengan membawa 1.56 juta batang rokok seludup.

Bagaimanapun lelaki tersebut tidak sempat menikmati upah tersebut apabila dia dicekup Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Kelantan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu pada 24 Oktober lalu sekitar jam 10.30 malam.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, sebelum itu pihaknya telah mengekori lori jenis bonded yang dipandu suspek berusia 48 tahun sejauh 10 kilometer dari Palekbang di sini.

"Sejurus menahan pemandu, anggota bertugas telah membuat pemeriksaan ke atas lori terbabit dan telah menemui 156 peti mengandungi rokok seludup bernilai RM140,400 dengan jumlah cukai sebanyak RM1.04 juta.

"Hasil soal siasat yang dilakukan mendapati rokok tersebut dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang kerana ia mendapat permintaan tinggi di sana," katanya semasa sidang media di Pejabat Penguat Kuasa Kastam Pengkalan Kubor di sini pada Ahad.

Wan Jamal Abdul Salam (tengah) bersama pegawai lain menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang berjaya dirampas di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu pada 24 Oktober lalu.
Wan Jamal Abdul Salam (tengah) bersama pegawai lain menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang berjaya dirampas di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu pada 24 Oktober lalu.

Menurut beliau, suspek direman selama 10 hari bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, rokok tersebut dipercayai dibawa masuk melalui laluan laut sebelum diangkut ke darat seterusnya dibawa menggunakan kenderaan.

"Kami sentiasa memantau aktiviti penyeludupan, terutamanya di lebih 20 pangkalan haram yang terdapat di sekitar Tumpat.

"Orang awam diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, dadah dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855, atau melalui lawan sesawang http:/aduan.customs.gov.my," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.