Pendatang asing 'serang' pejabat Imigresen Pulau Pinang

Ratusan pendatang asing tanpa izin 'menyerang' pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang di sini sejak semalam bagi mengikuti program 'Back For Good' (B4G) untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan undang-undang. - FOTO: PENANGKINI
Ratusan pendatang asing tanpa izin 'menyerang' pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang di sini sejak semalam bagi mengikuti program 'Back For Good' (B4G) untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan undang-undang. - FOTO: PENANGKINI
A
A
A

BUTTERWORTH - Ratusan pendatang asing tanpa izin 'menyerang' pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang di sini sejak semalam bagi mengikuti program 'Back For Good' (B4G) untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

Sebelum ini program yang bermula pada 1 Ogos lepas itu kurang mendapat sambutan, namun seperti dijangka mereka menunggu saat-saat akhir untuk berbuat demikian sehingga ada yang sanggup datang awal pagi dan berbaris panjang sementara menunggu nombor giliran dipanggil.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata pihaknya memang menjangkakan kehadiran luar biasa warga asing untuk mengikuti program itu dan pihaknya membuka semua kaunter bagi memproses permohonan mereka sejak semalam sehingga 31 Disember ini.

"Kami menerima dan menyelesaikan permohonan warga asing yang mahu mengikuti program B4G itu sehingga selesai bagi mengelakkan lambakan pada hari berikutnya memandangkan pada minggu terakhir ini permohonan terlalu banyak.

"Kakitangan Imigresen Pulau Pinang juga bertugas sehingga tengah malam dan jumlah yang mampu diproses dengan keupayaan serta kekuatan sedia ada sehingga jam 12 tengah malam adalah sebanyak 400 permohonan sahaja," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun Muhammad Husni berkata, sekiranya terdapat permohonan yang lebih daripada jumlah itu, pihaknya tetap akan menerima dan memproses pada hari yang sama supaya tidak berlaku kelewatan kepada warga asing terbabit.

Menurutnya, Imigresen Pulau Pinang akan melayani warga asing yang hadir dengan sebaik-baiknya bagi membolehkan mereka dapat pulang ke negara asal dan meminta mereka bersabar memandangkan jumlah yang hadir adalah tinggi selain proses yang dijalankan adalah berdasarkan prosedur.

Beliau berkata, sehingga semalam, seramai 10,257 warga asing daripada 17 negara telah mendaftar di Imigresen Pulau Pinang dan pihaknya telah berjaya membuat kutipan hasil sebanyak RM7,179,900 juta.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut 7,768 orang adalah lelaki manakala 2,489 orang adalah wanita. Daripada jumlah itu warga Indonesia mencatatkan bilangan teramai iaitu 4,120 orang diikuti Bangladesh (4,017 orang), India (774 orang), Myanmar (650 orang) dan Pakistan (257 orang)," katanya.

Katanya, warga asing hanya perlu hadir ke pejabat imigresen tanpa melalui pihak ketiga dengan membawa dokumen perjalanan bersama tiket pulang untuk direkodkan sebelum disenarai hitam dan setiap seorang akan dikenakan bayaran sebanyak RM700 untuk kompaun serta pas khas.

Seorang warga Indonesia Samir Sulaiman, 42, berkata, dia telah datang ke pejabat imigresen Pulau Pinang semalam untuk memohon menyertai B4G, namun disebabkan jumlah kehadiran terlalu ramai dia terpaksa pulang sebelum datang semula jam 6 pagi ini.

"Nasib baik ada program ini, jadi dapat saya balik. Saya sudah lama mahu balik ke Lombok kerana rindukan tiga anak di sana dan saya terpaksa membuat permohonan di saat akhir sebab perlu cari duit untuk bayar kompaun serta beli tiket penerbangan," kata wanita itu. - Bernama