Peningkatan jenayah penipuan rugikan negara

Kesalahan penipuan mencatatkan peratusan terbesar di bawah jenayah komersial iaitu 89.2 peratus. - Gambar hiasan
Kesalahan penipuan mencatatkan peratusan terbesar di bawah jenayah komersial iaitu 89.2 peratus. - Gambar hiasan
A
A
A

PERUBAHAN gaya hidup dan teknologi menyebabkan jenayah penipuan seperti wang palsu, love scam, penipuan siber, pecah amanah dan sebagainya menjadi isu hangat sejak beberapa tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jenayah indeks dan komersial masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan 3.0 peratus kepada 50,813 kes dan 30,536 kes pada 2022.

Manakala, jenayah siber meningkat 44.3 peratus kepada 577 kes daripada 400 kes dalam tempoh yang sama. Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

Kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber.

Kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes dengan 89.2 peratus diikuti pecah amanah sebanyak 911 kes bersamaan tiga peratus dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 melibatkan 832 kes atau 2.7 peratus.

Jenayah penipuan yang semakin meningkat bukan sahaja merugikan negara, tetapi turut mengancam keselamatan individu apabila maklumat atau data peribadi termasuk data kewangan mereka bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Hal ini disebabkan masyarakat terdedah dengan pelbagai platform media sosial yang mendorong kes jenayah penipuan terus berleluasa.

Dalam pada itu, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dalam memastikan jenayah berbentuk penipuan dapat dielakkan.

Artikel Berkaitan:

Jenayah penipuan yang sering menjerat rakyat di negara ini bukan hanya memberi kesan psikologi jangka panjang, sebaliknya memberi pelbagai masalah termasuk kewangan sehingga mengganggu emosi.

Pada 18 Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, sejumlah RM687 juta kerugian direkodkan yang berpunca daripada jenayah penipuan (scam) dan pelbagai bentuk penipuan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, jumlah kes yang direkodkan pada 2023 menurun kepada 19,220 kes berbanding 25,609 pada 2018.

Pengguna pada hari ini perlu lebih bijak supaya tidak mudah terjerat dengan penipuan yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Tugas tersebut perlu dipikul oleh setiap ahli keluarga bagi mendidik mereka dengan isu-isu semasa bagi memastikan mereka cakna dan peka terhadap jenayah baru dalam negara.