Bursa Malaysia ditutup tinggi berikutan belian semasa harga rendah

Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada Khamis lebih tinggi berikutan belian semasa harga rendah selepas jualan besar-besaran semalam. - Gambar hiasan
Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada Khamis lebih tinggi berikutan belian semasa harga rendah selepas jualan besar-besaran semalam. - Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia mengakhiri dagangan pada Khamis lebih tinggi berikutan belian semasa harga rendah selepas jualan besar-besaran semalam.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.30 peratus atau meningkat 4.44 mata kepada 1,439.77 daripada 1,435.33 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 0.61 mata kepada 1,435.94 sebelum bergerak antara 1,435.86 dan 1,441.35 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 kepada 300, manakala 425 kaunter tidak berubah, 1,050 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.38 bilion unit bernilai RM1.93 bilion daripada 2.79 bilion unit bernilai RM1.79 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks serantau utama turut menunjukkan peningkatan positif memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah penanda arasnya sekali gus mewujudkan sentimen optimis.

"Kami percaya unjuran kepada ekuiti serantau kekal positif berikutan jangkaan kadar faedah yang menggalakkan.

"Di dalam negara, kami positif terhadap keputusan untuk menghentikan sementara kenaikan di AS dan Eropah dan kami mengunjurkan sentimen pelabur meningkat dalam masa terdekat ini,” kata Pak Leng kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Indeks penanda aras telah mengekalkan jajaran dagangan kecil bagi tempoh lebih tiga minggu dan menunggu untuk melepasi paras sekitar 1,445.

"Sekiranya paras ini berjaya dilepasi dan kekal untuk tempoh lebih lama, kami melihat potensi FBM KLCI untuk melaksanakan peningkatan seterusnya.

"Dengan didorong keyakinan baharu, kami menjangkakan pasaran akan mengekalkan momentum belian, dengan indeks penanda aras dalam jajaran 1,435-1,450 menjelang akhir minggu ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus ketika mesyuarat terakhirnya untuk 2023 hari ini, seorang penganalisis berkata langkah itu positif kepada ekonomi berikutan banyak pihak masih membuat penyesuaian dengan kenaikan OPR sebelum ini dan peningkatan kos sara hidup selepas pandemik.

"Kadar faedah yang tidak berubah adalah baik buat masa ini memandangkan kita masih mempunyai banyak masa untuk menstabilkan kewangan. Malah, kuasa beli tidak akan berkurangan akibat kejutan itu,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Axiata meningkat 11 sen kepada RM2.29, Hong Leong Financial Group menokok 28 sen kepada RM17.50, CelcomDigi naik lima sen kepada RM4.25, manakala Dialog dan Sime Darby menambah dua sen masing-masing kepada RM2.08 dan RM2.29.

Dalam kalangan saham aktif, SMTrack meraih dua sen kepada lima sen, Kanger susut satu sen kepada 11.5 sen, Ranhill Utilities menokok lima sen kepada 78.5 sen, Widad menambah setengah sen kepada 45.5 sen, manakala BSL Corplost menyusut setengah sen kepada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 50.85 mata kepada 10,632.05, Indeks FBMT 100 meraih empat sen kepada 46.67 mata kepada 10,305.10 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 60.03 mata kepada 10,824.74.

Indeks FBM 70 melonjak 128.44 mata kepada 14,053.16 dan Indeks FBM ACE menokok 25.46 mata kepada 5,023.98.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.64 mata kepada 170.65, manakala Indeks Perladangan menokok 21.84 mata kepada 6,907.90, Indeks Tenaga menokok 13.16 mata kepada 870.81 dan Indeks Perkhidmatann Kewangan naik 33.77 mata kepada 16,235.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.93 bilion unit bernilai RM1.61 bilion berbanding 1.85 bilion unit bernilai RM1.55 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 480.69 juta unit bernilai RM77.09 juta berbanding 294.17 juta unit bernilai RM45.74 juta pada Rabu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 964.52 juta saham bernilai RM240.08 juta daripada 643.01 juta saham bernilai RM200.70 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 397.72 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (474.10 juta); pembinaan (156.38 juta); teknologi (165.02 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (50.88 juta); hartanah (201.18 juta); perladangan (23.57 juta); REIT (8.27 juta), dana tertutup (9,500); tenaga (146.36 juta); penjagaan kesihatan (44.00 juta); telekomunikasi dan media (30.12 juta); pengangkutan dan logistik (35.25 juta); dan utiliti (197.94 juta). - Bernama

Bursa Malaysia, FBM KLCI, belian semasa harga rendah, Fed, OPR, Rakuten Trade