Syor hukuman kembiri ke atas perogol

Jenayah seksual boleh menyebabkan mangsa trauma dan menderita seumur hidup. - Foto hiasan/123RF
Jenayah seksual boleh menyebabkan mangsa trauma dan menderita seumur hidup. - Foto hiasan/123RF
A
A
A

SERING kali kita membaca di akhbar-akhbar mengenai kes-kes jenayah membabitkan rogol, sumbang mahram serta cabul terhadap remaja atau kanak-kanak di bawah umur di negara ini.

Penularan jenayah seksual yang semakin membimbangkan masyarakat itu boleh menyebabkan mangsa trauma dan menderita seumur hidup.

Melihat kepada situasi itu, pelbagai pihak mengesyorkan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksual tersebut sebagai peringatan kepada anggota masyarakat.

Hukuman rogol sedia ada mengikut Kanun Keseksaan iaitu penjara maksimum 20 tahun serta hukuman sebat dilihat tidak mencukupi untuk menakutkan orang ramai agar menjauhi perbuatan jenayah tersebut.

Satu ketika dahulu, ada cadangan untuk mengenakan hukuman mati terhadap perogol, bagaimanapun ia mendapat bantahan banyak pihak.

Ini kerana hukuman tersebut didakwa terlalu berat dan menimbulkan masalah bagi mendapatkan kerjasama daripada saksi sekiranya dikuatkuasakan, terutama jika pesalah itu adalah ahli keluarga atau melibatkan punca rezeki.

Sebagai alternatif kepada hukuman mati, mungkin Malaysia perlu mempertimbangkan cadangan hukuman kembiri menggunakan kaedah kimia ke atas perogol.

Kembiri kimia adalah prosedur suntikan ubat antiandrogen untuk menghambat fungsi testosteron, sekali gus mengurangkan libido.

Artikel Berkaitan:

Akibatnya akan terjadi penurunan keghairahan seksual, mengurangi kemampuan rangsangan seksual dan secara langsung mengakibatkan kehilangan hasrat seksual.

Suntikan kimia kembiri untuk perogol kanak-kanak sebelum ini dilihat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan salah dari segi kebebasan hak asasi manusia.

Namun, banyak negara sudah menjadikan kembiri kimia sebagai hukuman dengan Denmark menjadi negara terawal melaksanakannya pada tahun 1929.

Di Amerika Syarikat (AS), tidak kurang daripada lapan negeri telah melaksanakan hukuman kembiri kimia.

Justeru, melihat kepada peningkatan saban tahun kes sumbang mahram dan rogol mangsa bawah umur di negara ini, mungkin sudah tiba masanya hukuman kembiri ini diwujudkan.

Bagaimanapun, sekiranya Malaysia mahu melaksanakan hukuman tersebut, satu kajian menyeluruh dan pandangan pakar perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya pertikaian.