Sze Fei-Izzuddin tekad bangkit di Jepun

Izzuddin (kanan) dan Sze Fei akan memulakan cabaran dalam saingan Terbuka Jepun di Tokyo bermula Selasa. -Foto: FB BAM
Izzuddin (kanan) dan Sze Fei akan memulakan cabaran dalam saingan Terbuka Jepun di Tokyo bermula Selasa. -Foto: FB BAM
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani enggan patah semangat setelah tersekat dalam aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea pada Jumaat apabila tekad bangkit pada Terbuka Jepun bermula Selasa.

Dalam saingan suku akhir tersebut, mereka terpaksa akur tewas straight set 9-21, 21-23 kepada pilihan utama kejohanan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Pencapaian Sze Fei-Izzuddin boleh dianggap membanggakan kerana membuat persiapan yang singkat setelah memenangi kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Izzuddin memberitahu, mereka akan melakukan persiapan terbaik untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan Terbuka Jepun dan Terbuka Australia nanti, lapor SPOTV.

“Saya fikir mungkin kami perlu lebih variasi dalam permainan. Terbuka Korea sudah tamat dan ada baki dua kejohanan lagi. Kami akan buat persiapan terbaik untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, Terbuka Korea adalah kejohanan kedua buat beregu No.46 dunia itu selepas mereka kembali bersatu setelah mengambil keputusan berpisah buat seketika Januari lepas.

Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong memperoleh pengalaman berguna dalam saingan Terbuka Korea.

Beliau mengakui dapat belajar sesuatu selepas dia turut tersingkir dalam aksi suku akhir selepas kalah kepada bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 20-22, 19-21.

“Saya sudah cuba lakukan yang terbaik dengan memberikan segala-galanya.

“Mungkin saya boleh belajar sesuatu daripada dia (Kean Yew) seperti kepantasan dan pengalaman, jadi akan bincang dengan jurulatih lagi selepas ini,” ujarnya.