MYAirline buat perjanjian dengan PERKESO, ringan beban kewangan pekerja

MYAirline mengulangi kenyataan bahawa syarikat itu tidak memberhentikan atau meletakkan mana-mana kakitangan dalam status cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lalu sehingga kini.
MYAirline mengulangi kenyataan bahawa syarikat itu tidak memberhentikan atau meletakkan mana-mana kakitangan dalam status cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lalu sehingga kini.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) telah membuat perjanjian dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk kakitangannya memohon Skim Insurans Pekerjaan (EIS).

MYAirline dalam satu kenyataan memaklumkan, perjanjian itu dibuat bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka sewaktu berhadapan tempoh sukar ini.

“MYAirline ingin mengulangi bahawa kami tidak memberhentikan atau meletakkan mana-mana kakitangan dalam status cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lalu sehingga kini.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan kami dan kami ingin memberi jaminan kepada mereka bahawa kami melakukan segala yang terdaya untuk menangani masalah mereka,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa tindakan MYAirline mengeluarkan notis pemberhentian sementara operasi secara tiba-tiba sebagai tidak profesional.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, tindakan itu menyebabkan lebih 900 pekerja ibarat 'digantung tidak bertali' apabila diarahkan bekerja dari rumah tetapi pada masa yang sama pihak syarikat gagal membayar tunggakan gaji.

Mengulas lanjut, syarikat penerbangan itu memberitahu, Tabung Ihsan telah dilancarkan untuk mengutip derma bagi pekerja yang terjejas teruk.

Dalam pada itu, MYAirline menjelaskan bahawa pihaknya telah mengemukakan surat tunjuk sebab secara rasmi kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dalam tempoh tarikh yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

MYAirline memaklumkan telah menerima 15 cadangan daripada pelabur berpotensi dan dua daripadanya kini berada dalam peringkat rundingan lanjutan.

“Pasukan ini bekerja sepanjang masa untuk memuktamadkan pakej permodalan semula yang akan memulihkan operasi kami.

“Ini juga akan memudahkan pembayaran balik wang kepada penumpang yang terjejas dan pembayaran gaji serta yuran berkanun,” kata kenyataan itu.