Perak capai SSR enam komoditi sayuran

Mohd Zolkafly (tengah) melakukan demonstrasi menyediakan salad daripada hasil pengeluaran program pembangunan pertanian komuniti sempena Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Pelancaran Kempen Makan Sayur-sayuran peringkat negeri Perak di Pejabat Pertanian Daerah LMS dekat Taiping pada Selasa.
Mohd Zolkafly (tengah) melakukan demonstrasi menyediakan salad daripada hasil pengeluaran program pembangunan pertanian komuniti sempena Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Pelancaran Kempen Makan Sayur-sayuran peringkat negeri Perak di Pejabat Pertanian Daerah LMS dekat Taiping pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Perak telah mencapai Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 100 peratus bagi enam komoditi sayuran tahun ini, kata Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Beliau berkata, enam sayuran tersebut ialah bendi (454 peratus), kacang panjang (275 peratus), timun (267 peratus), bayam (177 peratus), terung (162 peratus) dan sawi (143 peratus).

Menurutnya, bagi tanaman yang telah mencapai tahap sara diri tersebut, kerajaan negeri memberi tumpuan mencari pasaran baharu yang memberi nilai tambah antaranya mempelbagaikan lagi pengeluaran produk industri asas tani.

"Bagi tanaman yang belum mencapai tahap sara diri seperti cili, halia, kubis dan lain-lain, kerajaan negeri telah merangka pelan pembangunan untuk industri sayuran, ini termasuklah menambah keluasan kawasan bertanam dan meningkatkan jumlah petani yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Pelancaran Kempen Makan Sayur-sayuran peringkat negeri Perak di Pejabat Pertanian Daerah LMS dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Mohd Zolkafly berkata, status pengeluaran sayuran di Perak tahun lalu merekodkan 116,764 metrik tan melibatkan 6,702 hektar keluasan bertanam.

Katanya, daerah Kinta menjadi daerah pengeluar terbesar sayur-sayuran dengan pengeluaran sekitar 69,372 metrik tan melibatkan 3,881 keluasan bertanam.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mengimbangi kenaikan harga sayur di pasaran, kerajaan negeri menggerakkan kempen kebun kita yang dijenamakan semula sebagai program pembangunan pertanian komuniti.

"Kempen ini masih releven dalam menggalakkan rakyat negeri ini mengusahakan tanaman sayuran sendiri, tahun ini sahaja, seramai 1,439 peserta merangkumi komuniti kampung, surau dan masjid, sekolah serta institusi telah menerima manfaat daripada program ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, isu pengusiran petani setinggan seperti yang berlaku di Kanthan, Chemor tidak akan menjejaskan pengeluaran bekalan sayuran di negeri ini.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak menafikan peranan kelompok petani itu membantu pengeluaran negeri, namun jumlahnya tidak memberi kesan ketara terhadap pengeluaran secara keseluruhan.

"Dari segi statistik itu, kita tak dapat nak kenal pasti sebanyak mana jumlah pengeluarannya kerana mereka (petani setinggan) ini tidak berdaftar.

"Data yang kita ada di bawah Jabatan Pertanian adalah melibatkan tanah-tanah yang diusahakan secara sah," katanya.