Azizulhasni jumpa penyelaras program RTG minggu depan

Azizulhasni ketika ditemu bual media selepas Majlis Sambutan Hari Olimpik 2023 di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
Azizulhasni ketika ditemu bual media selepas Majlis Sambutan Hari Olimpik 2023 di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang akan mengadakan pertemuan bersama Penyelaras Program Jawatankuasa Road To Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam minggu hadapan, bagi membincangkan keperluan dan kebajikan yang diperlukannya sebelum ini.

Pelumba berusia 35 tahun itu berkata, hasil pertemuan itu penting, bagi membolehkannya untuk terus menampilkan aksi terbaik, ketika menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.

"Memang sepatutnya saya berjumpa dengan pihak (RTG) beberapa hari lalu, namun jadual saya agak padat, jadi hanya tahu mengenai permintaan diluluskan melalui surat khabar dan portal berita, dan hanya akan berjumpa dengan Stuart pada awal minggu hadapan.

"Jadi buat masa ini tidak tahu secara terperinci (mengenai maklumat permintaan yang diluluskan),” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Olimpik 2023: Majlis Olimpik Malaysia-Kementerian Pendidikan Malaysia, di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini pada Jumaat.

Pada Isnin lepas (19 Jun), Jawatankuasa RTG bersetuju melunaskan segala permintaan yang dipohon jaguh berbasikal yang sinonim dengan julukan The Pocket Rocketman itu, untuk memastikan atlet tersebut mendapat segala apa yang diperlukan bagi berada di prestasi terbaik menjelang Olimpik Paris 2024.

Azizulhasni sebelum ini dilaporkan telah meluahkan rasa kecewanya terhadap Majlis Sukan Negara (MSN), yang gagal menyediakan sistem sokongan lengkap di sini sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik itu.

Juara Dunia Berbasikal Trek Keirin 2017 itu berkata, beberapa siri perbincangan telah dibuat dengan MSN, dalam tempoh setahun sebelum beliau kembali ke tanah air daripada pangkalan latihan di Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai pada awal tahun ini, namun sehingga kini tidak menemui jalan penyelesaian.

Dalam perkembangan lain, juara keirin ACC 2023 itu menzahirkan kesyukuran atas segala penat lelah yang disifatkan berbaloi, apabila ranking terkini beliau dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi acara keirin dan pecut, meningkat.

"Saya tidak bimbang mengenai ranking, sebab saya memang tidak menyetai perlumbaan musim lepas, namun sebaik bermula dan kini menjadi nombor tiga dunia sudah semestinya menaikkan semangat diri ini. Ranking ini menunjukkan pasukan berbasikal dalam landasan tepat, untuk pergi ke Sukan Olimpik,” katanya.

Kedudukan pemenang pingat perak keirin Olimpik Tokyo 2020 itu meningkat daripada tangga ke-10 ke kedudukan ketiga di belakang pelumba Australia Matthew Richardson, yang berada di posisi kedua keirin dunia, manakala juara dunia dari Belanda Harrie Lavreysen, berada di tempat pertama.

Bagi acara pecut pula, menyaksikan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu melonjak daripada kedudukan ke-19 untuk menghuni tangga keenam, di belakang pelumba Israel Mikhail Yakovlev di tangga kelima dan pelumba Jepun Kaiya Ota, di kedudukan keempat.

April tahun lepas Azizulhasni telah menjalani pembedahan, susulan masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur daripada aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA). - Bernama.