Kedah mohon peruntukan RM470 juta atasi banjir

Munir (tengah) ketika meninjau projek RTB di Pendang dalam lawatan kerja baru-baru ini.
Munir (tengah) ketika meninjau projek RTB di Pendang dalam lawatan kerja baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri merangka pelan jangka pendek dan panjang dalam menangani masalah banjir berulang termasuk banjir kilat yang sering melanda beberapa daerah di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, antara perancangan dilakukan termasuk memohon beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk dilaksanakan selain memastikan sebahagian projek yang masih dalam pelaksanaan lancar mengikut jadual.

Menurutnya, kesemua peruntukan bagi perancangan untuk jangka panjang tersebut telah dimohon di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) berjumlah lebih RM470 juta.

“Beberapa kajian tebatan banjir yang menyeluruh juga sedang dan akan dibuat bagi menangani isu banjir yang kerap melanda, khususnya empat daerah terjejas teruk, iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena.

“Tindakan jangka pendek dan sederhana juga dilakukan seperti melebar dan mendalamkan sungai-sungai tertentu selain mencuci semak samun di tepi sungai dan alur,” katanya di sini pada Selasa.

Munir berkata, projek RTB yang sudah siap sepenuhnya ialah Sungai Kedah dan Changlun bernilai RM262 juta menerusi RMK 11 dan RMK12.

“RTB yang dalam pelaksanaan membabitkan RM371 juta, melibatkan RTB Sungai Kedah Anak Bukit Fasa dua, yang kini mencapai kemajuan 70 peratus, projek ini dijangka siap pada Oktober 2025.

“Sementara RTB Jitra kini dalam kemajuan pembangunan sekitar 16 peratus dan dijangka siap pada Mac 2025,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan projek menangani isu banjir akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan risiko kepada rakyat.

Pelaksanaan setiap projek berkenaan tidak mengambil kira kedudukan negeri sebaliknya berdasarkan risiko keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta kemusnahan harta benda.

Jelas Nik Nazmi, projek keutamaan tinggi di seluruh negara telah dikenal pasti termasuk kawasan 'panas' atau yang terdedah kepada banjir dan memerlukan tindakan segera.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan terdapat 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan dilaksana di seluruh negara membabitkan kos RM11.8 bilion.

Munir berharap pengumuman kerajaan Pusat itu dapat disegerakan dan lancar demi manfaat rakyat yang berdepan kerugian akibat kemusnahan harta benda setiap kali berlakunya banjir.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Nik Nazmi atas keprihatinan itu. Diharap Kedah tidak terkecuali menerima manfaat tersebut.

“Saya juga mohon semua rakyat Kedah mendoakan agar semua projek tangani banjir yang sedang dilaksanakan berjalan lancar dan berjaya disiapkan mengikut jadual,” ujarnya.

Munir memaklumkan, terdapat 260 'hotspot' kawasan banjir dikesan di negeri ini sepanjang musim monsun timur laut (MTL).

“Kesemua lokasi (Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena) berada dalam lembangan Sungai Kedah manakala tiga lagi daerah, iaitu Kuala Muda, Baling dan Sik di lembangan Sungai Muda,” katanya lagi.

Mengulas mengenai persoalan dibangkitkan Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan berkaitan status projek RTB Sungai Temin/Sungai Bata yang dijanjikan sejak tahun 2020.

Munir memaklumkan, RTB berkenaan berada dalam upstream dan merupakan pelengkap kepada RTB Sungai Kedah Anak Bukit

“Ia telah termasuk dalam projek yang sedang dibina, yang sudah capai kemajuan sekitar 70 peratus itu,” jelasnya.

Hasmuni sebelum ini mahu RTB Sungai Temin/Sungai Bata disegerakan berikutan setiap kali hujan lebat berterusan, beberapa kawasan seperti Changlun, Napoh, Bata dan Jitra dilanda banjir.

Isu berkenaan pernah dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dalam Dewan Rakyat pada 14 Julai 2020, dan dijawab Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, bahawa RTB berkenaan telah dimohon dalam RMK12 (10 Mei 2020) dengan kos RM100 juta.