Pemuda Amanah batal hasrat bertanding Bebas

Ahmad Shukri
Ahmad Shukri
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan membatalkan hasrat meletakkan calonnya untuk bertanding atas tiket Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota pada pilihan raya negeri (PRN) ini.

Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamaruddin berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan secara tuntas dilakukan mereka.

"Walaupun keputusan ini amat berat untuk ditelan kerana persediaan rapi dari segenap aspek yang telah diusahakan, kami optimis bahawa ini adalah keputusan berjiwa besar daripada Pemuda Amanah demi menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

"Kami turut yakin langkah yang telah digarap pada peringkat awal untuk meletakkan Pemuda sebagai calon Bebas di DUN Kota telah memberi isyarat yang jelas khususnya kepada kepimpinan parti Amanah di peringkat negeri dan nasional bahawa Pemuda Amanah bukanlah ‘pak turut’ mahupun bertindak bagai ‘lembu dicucuk hidung’ dalam segala keputusan besar yang diambil oleh parti," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Menurut Ahmad Shukri, pihaknya juga percaya yang kepimpinan parti akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan selepas ini dan berharap suara Pemuda Amanah akan lebih diberi perhatian.

Justeru katanya, Pemuda Amanah Negeri Sembilan akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua calon PH-BN yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan keputusan Pemuda Amanah untuk bertanding di DUN Kota bagi memastikan parti itu kekal bertanding di tiga kerusi DUN di Negeri Sembilan.

Ini kerana, kerusi DUN Lenggeng yang merupakan milik parti sebelum ini telah diberi kepada Barisan Nasional (BN).