[VIDEO] Status representasi Sharnaaz gugur kes cedera ‘pak guard’ 17 November

A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menangguhkan keputusan representasi pelakon, Sharnaaz Ahmad untuk menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium ke 17 November depan.

Semasa prosiding di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan, pada prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan Selasa untuk keputusan representasi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kertas siasatan kes ini berada di ibu pejabat selain representasi yang difailkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pihak pembelaan masih di peringkat pertimbangan.

“Pihak pendakwaan memohon tarikh lanjut untuk keputusan,” katanya.

Sharnaaz Ahmad hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.
Sharnaaz Ahmad hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.

Mendengar perkara itu, peguam, Mohamed Baharuden Mohamed Ariff yang mewakili Sharnaaz tidak membantah perkara terbabit.

Selepas prosiding, seorang lagi peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili selebriti itu berkata, permohonan tersebut dikemukakan kerana pihaknya difahamkan, pengadu dalam kes ini telah menarik balik laporan.

“Pihak pembelaan memohon, kes ini diselesaikan dengan cepat, jadi pihak kami berharap keputusan akan diperoleh pada prosiding akan datang,” katanya yang turut hadir bersama peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Mei lalu, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan yang juga penghuni di sebuah kondominium.

Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada jam 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Bapa kepada seorang anak lelaki ini, dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!