ADUN PN kemuka 392 soalan pada sidang DUN Selangor

ADUN PN Selangor dan pembentang yang hadir pada sesi pemukiman itu pada Isnin.
ADUN PN Selangor dan pembentang yang hadir pada sesi pemukiman itu pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan sebanyak 392 soalan kepada kerajaan negeri pada persidangan Dewan undangan Negeri (DUN) Selangor bermula 10 November ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, soalan itu memberi tumpuan kepada isu semasa rakyat dan soal integriti.

"Kita ingin mendapatkan jawapan dan penjelasan mengenai persoalan kos sara hidup rakyat, ekonomi, pendidikan, keselamatan, perubahan iklim dan alam sekitar, perumahan dan pastinya isu-isu ketirisan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Mohamed Azmin berkata, semua ADUN PN Selangor berikrar menggalas tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas serta memainkan peranan efektif dalam perbahasan dan sesi pertanyaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran di negeri ini.

Jelas beliau, semua ADUN terbabit juga terlibat dalam pemukiman pada Isnin untuk merencana usaha pendemokrasian sidang DUN Selangor.

"Acara padat diatur dengan teliti oleh Sekretariat ADUN PN Selangor bagi mengisi perbincangan dan diskusi untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang," jelas beliau.

Mengulas lanjut, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memulakan sesi pembentangan bertajuk 'Towards An Effective Law Makers'.

"Cukup menarik dan sarat dengan ilmu serta strategi yang pastinya menjadi pedoman kepada kami untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Beliau menekankan kefahaman mengenai Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor," jelas beliau.

Beliau memberitahu, Azhar juga berkongsi maklumat tentang Peraturan-Peraturan Tetap yang boleh menjadi asas kepada perbincangan isu-isu rakyat Selangor.

"Pembentukan kumpulan penyelidik akan terus dimantapkan untuk membantu ADUN dalam semua perbahasan dan sesi pertanyaan.

"Sebanyak 10 jawatankuasa portfolio utama PN mempunyai tanggungjawab besar untuk fokus dalam bidang dan sektor penting yang terkait dengan kemaslahatan rakyat negeri ini.

"Peranan Ketua Whip PN bersama Ketua Pembangkang diberikan perhatian untuk memelihara kemuliaan sidang DUN," tambahnya.

Mohamed Azmin memberitahu, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad pula membentangkan kertas naratif PN dan strategi media.

Beliau berkata, Marzuki merupakan tokoh akademik yang banyak berkongsi idea progresif demi masa depan negara yang bermaruah dan gagah.

"Banyak input dilontarkan kepada kami untuk terus membawa pendekatan saksama dan adil kepada semua, bertindak secara sederhana dan menyakini bahawa Selangor adalah sebuah negeri yang mempunyai potensi besar untuk semua rakyat.

"Beliau mengingatkan kami untuk terus berusaha membawa agenda prihatin rakyat dan memberikan khidmat terbaik kepada semua," jelas Mohamed Azmin.

Selain itu, sesi pembentangan itu turut disertai Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin membentangkan mengenai dasar-dasar ekonomi yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Tawaran PN pada Pilihan Raya Negeri ke- 15 (PRN15).

"Kupasan ini membuka banyak peluang kepada kami untuk berhujah dengan kuat bahawa PN mempunyai wawasan dan penyelesaian kepada cabaran global dan rantau hari ini.

"Antara objektif WKB adalah untuk menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan wilayah dan rantaian bekalan untuk meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan," tambahnya.

Beliau memberitahu, ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah turut berkongsi pandangan dan pengalaman beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor.

"Segala strategi dan taktik telah diturunkan kepada kami petang tadi (Isnin) dan kami pulang dengan semangat yang cekal untuk membawa suara rakyat dalam DUN Selangor," kata beliau.