Usul ahli Dewan Belia Sabah akan dibawa ke sidang DUN - Hajiji

Hajiji (dua dari kanan) ketika bertemu dengan ahli DBS pada majlis penutupan Persidangan DBS Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah di Kota Kinabalu.
Hajiji (dua dari kanan) ketika bertemu dengan ahli DBS pada majlis penutupan Persidangan DBS Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Usul yang dibahaskan ahli Dewan Belia Sabah (DBS) akan dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah atau kabinet negeri untuk dibincangkan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, usul yang dibahaskan telah pun diterima dan kerajaan negeri menghargai segala pandangan kritis, cadangan dan idea bernas yang dikemukakan oleh ahli DBS.

"Saya mengambil maklum pelbagai kegusaran yang telah dibangkitkan oleh ahli DBS semasa perbahasan. Antaranya mengenai pembangunan infrastruktur asas luar bandar, ekosistem pembangunan keusahawanan Sabah dan Pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dalam kalangan belia yang diangkat dalam kalangan ahli DBS.

"Selain itu juga berkaitan isu perundangan, keselamatan, integriti, antarabangsa, peluang pekerjaan, Sabah Youth Hub yang memfokuskan pembangunan belia dan kepimpinan serta beberapa usul lain.

"Kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci usul yang menjadi keutamaan dan keperluan untuk mengangkatnya ke DUN Sabah atau dibincangkan di peringkat kabinet Sabah," katanya pada majlis penutupan Persidangan DBS Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah di sini pada Selasa.

Sementara itu, bercakap mengenai Dewan Belia itu, Hajiji berkata, ia dapat membantu generasi muda mengetahui dan memahami hak sebagai pengundi dan pemegang mandat dalam menentukan kepimpinan negeri serta negara pada masa hadapan.

Malah menurutnya, ini bagi memastikan belia tahu mengenai tanggungjawab terhadap pembinaan masa depan negeri dan negara.

"Ini selaras dengan peranan dan fungsi KBS Sabah untuk melaksanakan program kepimpinan di bawah program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) yang merupakan platform untuk belia mendapatkan latihan dan bimbingan bagi membangkitkan potensi diri sebagai belia kompeten dan berwibawa bagi menjayakan misi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh kerajaan masa kini," ujarnya.

Persidangan disertai seramai 79 ahli DBS termasuk enam DUN Belia lantikan yang berlangsung selama dua hari bermula Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak sembilan usul telah dipilih untuk dibahaskan oleh ahli DBS yang menyentuh pelbagai isu mendasarkan kepada kepentingan rakyat negeri ini khususnya golongan belia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!