PH batal kemuka petisyen di tiga DUN Selangor

Amirudin (duduk, tengah) pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kerajaan Selangor berjumlah RM1 juta kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Barat, Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim (duduk, kiri) bagi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, hari ini. - Foto Bernama
Amirudin (duduk, tengah) pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kerajaan Selangor berjumlah RM1 juta kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Barat, Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim (duduk, kiri) bagi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak meneruskan petisyen terhadap keputusan pilihan raya negeri (PRN) di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Taman Medan, Sungai Kandis dan Dengkil.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan menyemak keputusan itu dengan peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditentukan melalui Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) parti.

“Gombak Setia sudah dihantar, yang lain tiga DUN dalam penelitian, tetapi saya difahamkan pihak guaman PKR merasakan kes-kes tersebut tidak mahu diteruskan, jadi itu kita dah serahkan kepada Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) (parti).

"Jadi kita akan tengok balik kenapa tempoh hari tidak dimajukan (diteruskan),” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kerajaan negeri Selangor kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pada Jumaat.

Petisyen melibatkan empat DUN itu dirancang ekoran kemenangan diperoleh di DUN berkenaan adalah rendah iaitu di DUN Sungai Kandis dengan majoriti 167 undi, Taman Medan (30), Gombak Setia (58) dan Dengkil sebanyak 407 undi majoriti.

Bagaimanapun, media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam cuma menerima satu petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRN Selangor bagi DUN Gombak Setia.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar menjelaskan, petisyen dibuat terhadap DUN Gombak Setia dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), namun tidak dimaklumkan asas tindakan tersebut.

“Itu dikemukan atas sebab beberapa asas.

"Asas untuk kesalahan pilihan raya ini atas proses SPR ada juga atas asas-asas kesalahan melanggari perjalanan pilihan raya.

"Jadi saya rasa itu strategi pempetisyen dari pihak BN dengan urusan SPR atau mahkamah untuk menetapkannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN lalu, Hilman Idham (PN) memenangi DUN Gombak Setia dengan memperoleh undi sebanyak 30,299 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, 30,241 undi menerusi pertembungan tiga penjuru.