Polis menangis teresak-esak rayu ringan hukuman

Tertuduh diiring SPRM di mahkamah
Tertuduh diiring SPRM di mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Polis berpangkat Korporal menangis teresak-esak sambil memohon maaf di kandang tertuduh ketika merayu kepada hakim Mahkamah Sesyen Seremban agar hukuman minima dikenakan atas pertuduhannya menerima rasuah RM3,000 daripada seorang penternak kambing tahun lalu.

Shahrul Sufian Mohd Jaini, 33, yang berkhidmat di Pondok Polis Sungai Kelemah Gemas, Daerah Tampin sebelum itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim, Madihah Harullah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

"Saya merayu dijatuhkan hukuman minima, kerana saya menanggung ayah yang sedang sakit kanser usus tahap tiga, emak yang kencing manis dan darah tinggi serta dua anak yang akan mula bersekolah tahun depan.

"Ini kesalahan pertama saya tuan. Tolong tuan, saya minta ampun dan menyesal. Saya sayangkan kerja saya," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam telah menerima wang tunai RM3,000 daripada Mohd Azmil Abdul Manaf, 37, yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai anggota polis.

Perbuatan itu dilakukan pada 10 September 2018 antara jam 12 hingga 1 petang di Restoran Al Manar di Pekan Gemencheh Baru, Tampin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan jika gagal menjelaskan denda berkenaan boleh dipenjara lapan bulan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan jika gagal menjelaskan denda berkenaan boleh dipenjara lapan bulan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan jika gagal menjelaskan denda berkenaan boleh dipenjara lapan bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zainab Yahaya.

Mengikut fakta kes, Shahrul Sufian telah meminta sejumlah wang dianggarkan RM5,000 daripada pengadu, Mohd Azmil Abdul Manaf jika dia tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang atau ditangkap berhubung kes curi kambing yang ada kaitan dengannya.

Pengadu kemudian telah membuat aduan kepada Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada jam 4 petang hari sama dan pada 10 September tahun lalu, tertuduh telah ditahan SPRM ketika menerima wang daripada pengadu.