Status agama bekas guru: Mahkamah rayuan saran keluarga, MAIS bawa kes ke mahkamah sivil

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mencadangkan agar keluarga B. Raguram dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneroka kemungkinan membawa isu bagi menentukan status agama bekas guru sekolah itu ketika kematiannya ke mahkamah sivil.

Hakim Datuk S.Nantha Balan, yang mempengerusikan panel tiga hakim, melontarkan saranan itu ketika mendengar rayuan yang dikemukakan oleh balu Raguram dan dua anak mereka.

"Bukankah lebih sesuai jika isu ini dibicarakan sepenuhnya,” katanya sambil menambah bahawa MAIS mahupun keluarga Raguman boleh memfailkan permohonan berhubung perkara itu.

Nantha Balan, yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing, berkata mahkamah menyerahkan perkara itu kepada kedua-dua pihak untuk memutuskan apa yang mereka mahu lakukan dan bagaimana mereka akan meneruskan kes tersebut sambil menambah bahawa ia adalah isu sensitif serta mempunyai pelbagai implikasi dalam beberapa bidang.

"Saya rasa saya perlu menjelaskan perkara ini sekiranya ia masih berlegar-legar dalam fikiran sesiapa bahawa panel ini tidak membuat sebarang keputusan. Kami hanya menggalakkan pihak berkaitan untuk meneruskannya,” kata beliau.

Peguam MAIS, Arham Rahimy Hariri dan Penolong Penasihat Undang-Undang negeri Khairul Nizam Abu Bakar, yang bertindak bagi pihak Mahkamah Tinggi Syariah serta Kerajaan Negeri Selangor, berkata mereka akan membincangkan perkara itu dengan anak guam masing-masing.

Nantha Balan kemudian menangguhkan prosiding dan menetapkan sebagai pengurusan kes.

Terdahulu, peguam K. Shanmuga yang mewakili M. Rajeswary dan dua anaknya berhujah bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah supaya Raguram dikebumikan mengikut agama Islam dan perintah itu hendaklah dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MAIS sepatutnya memfailkan saman di mahkamah sivil dan menamakan keluarga Raguram sebagai pihak dalam kes itu sambil menambah bahawa mereka harus menjadi sebahagian daripada mana-mana kes mahkamah dalam isu bagi memutuskan status agama bekas guru tersebut kerana hak Rajeswary sebagai balu terjejas secara langsung.

Katanya, MAIS sebaliknya telah membawa kes itu ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan perintah mengisytiharkan bahawa Raguram adalah seorang Muslim dan meminta agar sepina dikeluarkan kepada Rajeswary untuk memberi keterangan.

Shanmuga berkata, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sepina itu kerana balu Raguram bukan seorang Muslim.

Rajeswary dan kedua-dua anaknya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 November tahun lepas yang menolak semakan kehakiman mereka.

Hakim Dr Shahnaz Sulaiman memutuskan bahawa mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan sama ada Raguram beragama Islam ketika kematiannya kerana perkara itu jatuh secara eksklusif dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Rajeswary dan anak-anaknya memfailkan semakan kehakiman itu pada September 2020 yang menamakan MAIS, Mahkamah Tinggi Syariah dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.

Mereka memohon deklarasi bahawa Raguram beragama Hindu ketika kematiannya dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menentukan status agamanya.

Keluarga itu turut memohon perintah melarang Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan MAIS menggali semula kubur Raguram.

Raguram telah dikebumikan mengikut adat istiadat agama Hindu pada 15 Mac 2020 dan MAIS memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam keesokan harinya.

Raguram tidak pernah mendaftar dengan pihak berkuasa agama Islam sebagai seorang Muslim dan tiada sijil penukaran agama dikeluarkan kepadanya manakala kad pengenalan menyatakan beliau adalah penganut agama Hindu.

Pada 21 Mei 2020, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan bahawa Raguram adalah seorang Muslim ketika kematiannya dan membenarkan MAIS mengambil tindakan yang perlu untuk mendaftar serta mentadbir penukaran agama Raguram selain mengebumikan jasadnya mengikut agama Islam. - Bernama