Kesesakan di Tambak Johor semakin berkurang - PM

Anwar menjawab soalan wartawan ketika sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura di Istana hari ini. - Foto Bernama
Anwar menjawab soalan wartawan ketika sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura di Istana hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Kesesakan di Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura semakin berkurang hasil usaha bersama oleh pelbagai kementerian di Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak-pihak yang berkaitan di Singapura.

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaannya atas sumbangan besar kementerian berkaitan dan Jabatan Kastam yang membantu mengurangkan kesesakan, yang sebelum ini merupakan masalah besar dalam kalangan pekerja Malaysia yang terpaksa bangun pukul 4 pagi untuk menyeberang sempadan antarabangsa yang paling sibuk di dunia itu.

Lebih 350,000 orang menggunakan Tambak Johor setiap hari.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong pada Isnin.

Kedua-dua Perdana Menteri itu bertemu di Singapura untuk sesi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 yang pertama sejak pandemik Covid-19.

"Singapura memerlukan Woodlands (Woodlands Check Point (WCP)) yang kini di bawah bidang kuasa Malaysia.

"Saya memaklumkan bahawa kita (Malaysia) boleh memudahkan penjualannya (WCP) supaya Singapura mendapat kemudahan itu untuk melancarkan lagi aliran masuk pekerja Malaysia ke Singapura dan kemasukan rakyat Singapura ke Johor khasnya pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, Singapura telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan perjalanan rentas sempadan lebih lancar dan cekap sambil mengekalkan keselamatan sempadan.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga telah memulakan pembangunan semula WCP untuk meningkatkan kapasitinya dan memenuhi pertumbuhan jangka panjang untuk perkhidmatan perjalanan rentas sempadan.

"Saya gembira PM Anwar menyambut baik dan menyokong usaha Singapura," kata beliau.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pemukiman itu, Kumpulan Kerja Hubungan Pengangkutan bekerjasama rapat untuk mengukuhkan infrastruktur dan ketersambungan rentas sempadan antara Singapura dan Johor.

Agensi pengangkutan dari kedua-dua negara turut mencapai kemajuan dalam mengukuhkan rangkaian pengangkutan dan memudahkan penumpang, dengan meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas rentas sempadan dan memperkenalkan perkhidmatan feri baharu.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) mengunjurkan jumlah trafik di WCP meningkat hampir 40 peratus menjelang 2050.

Ini bermakna purata harian kira-kira 400,000 pengembara berbanding tahap sebelum pandemik iaitu kira-kira 300,000 orang pada tahun 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar dan Hsien Loong turut menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

RTS akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North dengan kapasiti puncak seramai 10,000 penumpang sejam, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di sepanjang Tambak dan mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Singapura.

Anwar dan Hsien Loong menyuarakan keyakinan mereka terhadap permulaan perkhidmatan RTS menjelang akhir 2026.

Kedua-dua pemimpin turut mengarahkan pegawai mereka untuk terus bekerjasama rapat bagi menjayakan projek RTS berkenaan. - Bernama