Jumlah kematian menurun pada 2022

Penyakit jantung adalah sebab kematian utama sejak lebih dua dekad lepas kecuali pada 2021, Covid-19 jadi sebab kematian utama. - Gambar hiasan
Penyakit jantung adalah sebab kematian utama sejak lebih dua dekad lepas kecuali pada 2021, Covid-19 jadi sebab kematian utama. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan kematian menurun lapan peratus pada 2022 kepada 206,525 berbanding 224,569 kematian pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Jabatan itu memaklumkan pada 2022, 61.1 peratus atau 126,268 daripada 206,525 kematian merupakan kematian yang disahkan secara perubatan manakala 38.9 peratus atau 80,257 adalah kematian yanng tidak disahkan secara perubatan.

Berdasarkan statistik Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2023 yang dikeluarkan hari ini, DOSM memaklumkan penyakit jantung iskemik merupakan kematian utama pada 2022 dengan 20,322 kematian atau 16.1 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.

"Penyakit jantung iskemik adalah sebab kematian utama sejak lebih dua dekad lepas kecuali pada 2021 iaitu Covid-19 menjadi sebab kematian utama,” menurut DOSM.

Dari segi kumpulan umur, penyakit jantung iskemik merupakan sebab kematian utama bagi penduduk berumur 41 hingga 59 tahun dan 60 tahun dan lebih, masing-masing pada 20 dan 16.7 peratus.

Kemalangan kenderaan pula merupakan sebab kematian utama bagi penduduk berumur 15 hingga 40 tahun dengan 19.2 peratus manakala pneumonia adalah sebab kematian utama bagi penduduk berumur 0-14 tahun dengan empat peratus.

"Semua negeri di Malaysia merekodkan penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama pada 2022 kecuali Sabah dan Sarawak yang merekodkan pneumonia sebagai sebab kematian utama pada tahun yang sama,” menurut DOSM.

DOSM memaklumkan Kelantan merekodkan peratusan tertinggi bagi penyakit jantung iskemik iaitu 23.3 peratus diikuti Perlis dengan 23.1 peratus dan Melaka sebanyak 20 peratus. - Bernama

Artikel Berkaitan: