Inflasi Malaysia terus mereda, 2.8 peratus pada Mei

Inflasi Malaysia terus mereda kepada 2.8 peratus pada Mei 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.2 berbanding 126.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. - Foto Bernama
Inflasi Malaysia terus mereda kepada 2.8 peratus pada Mei 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.2 berbanding 126.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. - Foto Bernama
A
A
A

INFLASI Malaysia terus mereda kepada 2.8 peratus pada Mei 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.2 berbanding 126.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan, kenaikan inflasi tersebut kekal didorong sektor Restoran dan Hotel iaitu 6.7 peratus dan sektor Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (5.9 peratus).

Bagaimanapun, lapor DOSM, peningkatan perlahan bagi kumpulan Pengangkutan iaitu 1.0 peratus berbanding April 2023 (2.3 peratus) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat lebih tinggi.

"Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada Mei 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.9 peratus); Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (2.7 peratus); Kesihatan (1.9 peratus) dan Pendidikan (1.9 peratus).

"Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain dan Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan pula masing-masing meningkat 1.8 peratus.

"Ini dikuti oleh, Minuman Alkohol dan Tembakau (0.7 peratus) dan Pakaian dan Kasut (0.4 peratus)," memetik kenyataan tersebut.

DOSM memaklumkan, kenaikan komponen makan di rumah adalah didorong terutamanya oleh kenaikan subkumpulan daging (7.8 peratus); susu, keju dan telur (6.5 peratus); beras, roti dan bijirin lain (6.0 peratus) serta gula, jem, madu, coklat dan manisan (3.7 peratus).

Buah-buahan meningkat sebanyak 3.6 peratus dan Ikan & makanan laut meningkat 2.7 peratus.

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Mei 2023 meningkat kepada 0.2 peratus berbanding April 2023 (0.1 peratus).

Ini disumbangkan terutamanya oleh Restoran dan Hotel (0.6 peratus), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.5 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.5 peratus).

Sementara itu, inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 3.5 peratus (April 2023: 3.6 peratus).

Bagi inflasi di peringkat negeri pula, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.8 peratus dengan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.2 peratus pada Mei 2023.

Bagaimanapun, tujuh negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.5 peratus), Selangor (3.3 peratus), Perak (3.2 peratus), Putrajaya (3.1 peratus), Pahang (3.1 peratus), Melaka (3.1 peratus) dan Sabah (3.0 peratus).

Bagi perbandingan dengan negara-negara lain, Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding Zon Euro (6.1 peratus), Filipina (6.1 peratus), Amerika Syarikat (4.0 peratus), Indonesia (4.0 peratus) dan Republik Korea (3.3 peratus). - Awani