KPT perkenal Program MyBrain 2.0

A
A
A

Mohamed Khaled (tengah) merasmikan pelancaran simbolik MyBrain 2.0, turut serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian (kanan). -FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohamed Khaled (tengah) merasmikan pelancaran simbolik MyBrain 2.0, turut serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian (kanan). -FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

PUTRAJAYA - Selepas dihentikan kira-kira tujuh tahun lalu, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan semula Program biasiswa MyBrain15 tahun depan dan dijenamakan sebagai MyBrain 2.0.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi setiap ambilan dengan sasaran 500 orang setahun dalam bidang-bidang yang kompetitif di pelbagai peringkat.

Menurutnya, Program MyBrain15 merupakan antara produk berimpak tinggi yang pernah diperkenalkan mulai 2011 namun dihentikan pada tahun 2016.

“Setelah mengambil kira potensinya dan usaha kerajaan dalam melahirkan ramai golongan intelektual serta pakar bagi menyokong matlamat kesejahteraan pembangunan negara, kita (kerajaan) telah bersetuju untuk memperkenal dan melaksanakan semula program biasiswa ini pada tahun 2024.

“Selain dikenali dengan nama MyBrain 2.0, program biasiswa ini akan menyaksikan beberapa pengukuhan daripada aspek cakupan dan pelaksanaannya.

“Ia menyasarkan 500 penerima biasiswa setiap tahun dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap termasuk pensyarah institut pendidikan tinggi swasta bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MyBrain 2.0 dan Penyampaian Surat Tawaran Penajaan 2023 di KPT di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Mohamed Khaled menyampaikan Surat Tawaran Penajaan Tahun 2023 kepada penerima yang terpilih. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohamed Khaled menyampaikan Surat Tawaran Penajaan Tahun 2023 kepada penerima yang terpilih. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Jelas Mohamed Khaled, pelaksanaan program tersebut juga bertujuan meningkatkan jumlah pemegang ijazah lanjutan untuk memenuhi keperluan modal insan intelektual dan kepakaran tempatan bagi menyokong pembangunan negara.

Tambahnya, antara aspek pengukuhan bagi pelaksanaan program itu melibatkan pengemasan kontrak bagi mengelakkan pelanggaran terma penajaan dan pengukuhan sistem yang lebih bersifat digital serta mesra pengguna.

“Untuk makluman semua, biasiswa MyBrain 2.0 ini boleh dimohon oleh semua yang layak bermula Januari tahun 2024,” katanya.

Kadar ESH dinaikkan

Sementara itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar sedia ada dan baharu di bawah Program Penajaan KPT bagi peringkat sijil hingga pasca siswazah dalam dan luar negara.

Ujarnya, kenaikan 15 peratus kadar ESH melibatkan pelajar sedia ada dan baharu luar negara peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD di bawah Program MyBrainScience, kecuali peringkat Ijazah Pertama di UK.

Jelasnya, kenaikan elaun itu turut diterima pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara dalam negara sebanyak RM100 sebulan melibatkan Biasiswa Atlet Cemerlang Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik.

MOHAMED KHALED
MOHAMED KHALED

Selain itu, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) dan Program MyBrain 2.0.

“Kenaikan RM100 sebulan ESH/Elaun Wang Saku juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar B40 (Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti) dan OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas).

“Walau bagaimanapun kadar ESH yang dinikmati oleh pelajar dalam kalangan pegawai awam dalam perkhidmatan sama ada sedia ada dan baharu dalam dan luar negara dikekalkan.

“Ini kerana, kenaikan kos sara hidup dilihat mampu diserap oleh pegawai yang mengikuti pengajian dalam dan luar negara kerana mereka turut menerima gaji bulanan penuh secara tetap selain ESH,” katanya.

Menurutnya, kenaikan kadar ESH tersebut akan berkuat kuasa mulai tahun depan dengan pertambahan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM30.78 juta.

Katanya, dijangka seramai 24,729 pelajar tajaan KPT menerima manfaat tersebut.

“Kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

“Ia juga bagi memastikan pelajar tajaan KPT dapat meneruskan pengajian dalam keadaan yang kondusif dan mampu menyempurnakan pengajian dengan jayanya tanpa perlu memikirkan bebanan kewangan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau menambah, secara keseluruhan terdapat 18 program penajaan di bawah KPT antaranya Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) dan Latihan Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) (SLAI).

Senarai lain ialah Sub-Kepakaran, Pasca Kedoktoran dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Tokoh Siswa Pelajar Cemerlang Politeknik, MyBrainScience, Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK) dan lain-lain.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan surat tawaran kepada pelajar tajaan KPT yang berjaya melanjutkan pengajian pada tahun ini bermula di peringkat sijil hingga pasca siswazah.

Penerima bersyukur keprihatinan KPT

Secara keseluruhan seramai 17,015 pelajar menerima tajaan sama ada dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelbagai kumpulan sasar bagi 2023.

MOHAMAD AFIQ
MOHAMAD AFIQ

Seorang penerima biasiswa, Mohamad Afiq Amiruddin Parnon, 33, menyifatkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan kembali Program MyBrain 2.0 sebagai langkah tepat untuk membantu pelajar khususnya yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Kata penerima biasiswa SLAB itu, selari dengan fokus utama kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pelajar yang mendapat tajaan berupaya membantu membawa teknologi luar negara ke dalam negara selepas tamat belajar nanti.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan kerana perkenalkan kembali Program MyBrain 2.0 ini kerana secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar yang tidak berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ia juga selari dengan matlamat untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan lebih penting ilmu yang diperoleh nanti dapat memberi manfaat kepada negara,” katanya yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Manchester, United Kingdom (UK).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!